Kenyataan Akhbar

Lompat parti: DAP minta penjelasan SPRM 5 kes rasuah politik MP pro-kerajaan 

Oleh Aziera NH 

DAP meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjelaskan mengapa wakil rakyat pembangkang didakwa tetapi bukan wakil rakyat pro-kerajaan yang telah menukar sokongan mereka, tegas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng merujuk kepada wakil rakyat pembangkang seperti Ahli Parlimen Labuan (Warisan), Rozman Isli didakwa tetapi bukan wakil rakyat pro-kerajaan. 

Untuk rekod, Rozman hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah yang dikaitkan semasa dia memegang jawatan Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) tiga tahun lalu.

Tambah Guan Eng, SPRM telah membuka 687 kertas siasatan antara Januari dan Ogos tahun ini, termasuk 149 kertas siasatan dalam kategori “berprofil tinggi, berkepentingan awam dan sensitif”, sementara 538 dalam kategori biasa. 

“Bagaimanapun, SPRM dan Pejabat Peguam Negara secara konsisten dan selektif hanya mendakwa mereka yang menentang kerajaan atau Perdana Menteri.

“Ini telah membuktikan pernyataan Majlis Presiden PH bahawa SPRM telah dijadikan senjata sebagai alat politik untuk mengancam dan mengugut wakil rakyat pembangkang bagi mendorong mereka untuk menyokong kerajaan, terutama ketika mereka memiliki majoriti Parlimen yang lemah dan tidak stabil.

“Di bawah Kerajaan PN, SPRM tidak lagi dilihat sebagai organisasi yang adil, bebas dan profesional yang memerangi rasuah di peringkat tertinggi, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambah Guan Eng, bekas Ketua Polis Negara turut mendedahkan kegagalan SPRM bertindak menentang rasuah politik yang melibatkan Ahli Parlimen yang melompat menyokong kerajaan. 

“Kegagalan SPRM untuk bertindak hanya mengesahkan bahawa pernyataan yang dibuat oleh PH bahawa agensi kerajaan, termasuk SPRM, telah dijadikan senjata politik terhadap pembangkang,” ujarnya.

Oleh itu, DAP menggesa SPRM untuk menjelaskan lima kes rasuah politik yang melibatkan Ahli Parlimen yang lompat parti berikutan dorongan atau ugutan, di mana siasatan SPRM telah berakhir begitu sahaja setelah mereka melompat untuk menyokong kerajaan iaitu: 

1. Kes lompat parti beramai-ramai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah tahun lalu, yang telah didalangi oleh Tan Sri Musa Aman. 

2. Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah dirakam secara audio, menawarkan jawatan dan kedudukan politik di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai pertukaran sokongan politik.

3. Siasatan SPRM terhadap Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar menjadi senyap setelah Xavier melompat dan menyokong Muhyiddin, yang menurut bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak melibatkan RM78.2 juta;

4. 5 Ahli Parlimen PKR yang telah menolak dorongan atau ugutan supaya melompat dan menyokong Muhyiddin iaitu Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari, M. Karupaiya (Padang Serai), S. Kesavan (Sg Siput), Michael Teo Yu Leong (Miri) dan Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail.

5. Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong, yang telah melompat keluar daripada PKR untuk menyokong Muhyiddin, mengakui bahawa Muhyiddin telah menjanjikannya kedudukan rasmi yang akan memberi dia platform untuk membangun semula ekonomi negara. – Roketkini.com