Berita, Rencana

Pandora Papers: Pihak berkuasa perlu bersama rakyat dan siasat


Pemuda Pakatan Harapan serta rakan rakan kepimpinan sayap Pemuda dan parti parti seperjuangan telah membuat laporan polis supaya siasatan dipercepat ke atas dakwaan Pandora Papers yang mendedahkan pelbagai aktiviti kewangan luar pesisir dalam usaha menyembunyikan aset yang berjumlah berbilion-bilion ringgit. Pengaliran wang Malaysia ke luar negara secara HARAM yang berjumlah RM 1, 800 Billion dari tahun 2005 sehingga 2015, seperti yang telah dilaporkan oleh Global Financial Integrity (GFI), perlu disiasat secara telus dan teliti.

Kami menganggap bahawa ia adalah suatu pendedahan yang telah pun mencemarkan integriti negara dan ia tidak boleh dipandang ringan oleh pihak-pihak berkuasa. Implikasinya adalah cukup serius dan WAJIB diambil peduli kerana kita tidak boleh terima bahawa Malaysia kini bergelumang dengan pemanipulasian harta negara untuk kepentingan peribadi. Individu-individu yang disenaraikan di dalam ‘Pandora Papers’ yang terdiri daripada tokoh-tokoh politik, ahli-ahli keluarga mereka, dan taikun-taikun korporat telah menconteng arang kepada wajah-wajah seluruh rakyat Malaysia atas tindakan yang hina ini, lalu meludah ke wajah kedaulatan negara.

Mereka termasuklah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Zainal Abidin, Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Pendedahan International Consortium of Investigative Journalism (ICIJ) yang dinamakan ‘Pandora Papers’ dan ‘Panama Papers’ ini adalah bukti dan petunjuk kepada institusi keadilan Malaysia untuk menyiasat dalang-dalang yang terlibat dengan aliran wang dan harta secara haram ke luar negara.

Sungguh memalukan, ini juga adalah kali pertama Malaysia telah dimasukkan ke dalam Senarai Kelabu European Union (EU) sebagai Negara ‘Non-Cooperative Nations’ bagi pengelakan cukai pada 7 Oktober 2021. Penyenaraian ini memberi makna bahawa Malaysia terlibat dengan penipuan cukai, pengubahan wang haram (money laundering), pengelakkan cukai, dan menyembunyikan sumber kekayaan yang diperolehi secara haram.

Ketika para petugas kesihatan negara kini sedang bertungkus-lumus mahu melandaikan lengkung COVID-19, amat dukacita sekali apabila kita dikejutkan dengan berita sebegini. Ketika ramai warganegara kita sedang bertarung nyawa untuk hidup dalam keadaan ekonomi yang menekan, alangkah gugurnya semangat kita apabila kita didedahkan dengan kekayaan ‘luar biasa’ yang amat mencurigakan begini.

Kami menegaskan bahawa individu-individu yang dinyatakan di dalam Pandora Papers adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai posisi penting di dalam tadbir urus negara, di samping beberapa ahli perniagaan yang dahulunya juga terlibat dalam arena politik negara. Apabila terbongkar segalanya, barulah kita sedar betapa jijiknya sesetengah pemimpin kita sesuka hati menggunakan pelbagai kaedah untuk melindungi aset mereka dengan menggunakan yayasan dan memperalatkan instrumen-instrumen luar pesisir untuk nafsu temahak mereka sendiri.

Kami menyedari bahawa bukan semua akaun luar pesisir menjadi wadah pengelakan cukai mahupun pengubahan wang haram. Kendatipun begitu, warganegara dan pemimpin yang terdedah, haruslah disiasat bagi membersihkan nama mereka daripada apa-apa jua dakwaan. Itulah asbab utama mengapa pihak polis perlu siasat perkara ini secara telus dan tulus.

Laporan polis yang dibuat ini adalah satu seruan kepada pihak-pihak berkuasa untuk melaksanakan amanah, tanggungjawab dan menyucikan kembali nama Malaysia daripada salah laku aliran wang haram.

Kami menggesa supaya parlimen – sama ada dewan rakyat ataupun dewan negara – selaku dewan perhimpunan rakyat tertinggi segera membahaskan pendedahan Pandora Papers dan isu pengaliran wang ke luar pesisir.

Kami juga menyeru kepada mereka yang didedahkan mempunyai akaun luar pesisir oleh Pandora Papers untuk menyerah diri kepada pihak polis bagi membantu pihak berkuasa membersihkan nama mereka sekiranya tidak melakukan sebarang aktiviti haram yang melanggar undang-undang dan mencemarkan kedaulatan negara.

Disebabkan ia melibatkan sejumlah wang yang sangat besar (yang sekiranya tidak diubah ke luar pesisir, barangkali ia boleh membantu melunakkan ekonomi negara dan membantu rakyat marhaen pada ketika ekonomi parah), kami mencadangakan supaya sebuah suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat impak dan implikasi terhadap rakyat, ekoran daripada telatah pengubahan wang sebegini.

Howard Lee Chuan How – Ketua Pemuda Pakatan Harapan Malaysia

Felix Joseph Saang – Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Malaysia

Phoong Jin Zhe – Ketua DAPSY Sabah

Fendy Ismail – Ketua Pemuda Amanah Sabah

Shahrizal Denci – Pengerusi MUDA Sabah — Roketkini.com