Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kertas Pandora: Kerajaan bertanggungjawab siasat dan cegah salah guna kewangan luar pesisir

Oleh Aziera NH

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan kabinetnya bertanggungjawab untuk mengambil tindakan proaktif terhadap perkara-perkara yang didedahkan oleh Kertas Pandora, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata, ikrar Ismail bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang berkaitan dengan Kertas Pandora menunjukkan perdana menteri tidak memahami tanggungjawabnya.

“Kenyataan Ismail menunjukkan dia tidak memahami sepenuhnya tanggungjawab sebagai perdana menteri Malaysia.

“Malaysia, bersama dengan negara-negara lain dan komuniti kewangan antarabangsa, mempunyai tanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan dunia untuk memanfaatkan pendedahan itu bagi melakukan pembaharuan terhadap sistem kerahsiaan kewangan yang meminggirkan undang-undang di Malaysia dan dunia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ismail sebelum ini telah memberikan komitmennya bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap individu yang disebut dalam Kertas Pandora.

Dia juga berkata bahawa pihak berkuasa bebas untuk mengambil tindakan sekiranya mereka menemui bukti kesalahan.

Oleh itu, Kit Siang turut menyatakan dua sebab lain mengapa kerajaan Malaysia tidak boleh mengabaikan Kertas Pandora, iaitu:

  1. Malaysia menduduki tempat ketiga di antara 147 negara untuk aliran kewangan haram, menurut laporan 10 tahun terakhir oleh badan pemikir Global Financial Integrity (GFI). Malaysia mengalami kerugian antara AS$22.9 bilion (RM94.22 bilion) dan AS$33.7 bilion (RM138.55 bilion) dalam aliran keluar haram dari tahun 2006 hingga 2015.
  2. Tidak seperti kebocoran dokumen Kertas Panama pada 2016, Malaysia secara khusus disorot dalam Kertas Pandora, khususnya dakwaan penglibatan Jho Low yang kini dalam buruan berhubung skandal 1MDB. Kajian 2020 oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) juga melaporkan bahawa sekurang-kurangnya AS$11.3 trilion ada di akaun luar pesisir.

Kata Kit Siang, sukar untuk mengetahui berapa banyak wang ini berkaitan dengan pengelakan cukai dan kesalahan lain kerana kerumitan dan kerahsiaan sistem luar pesisir.

“Kertas Pandora telah menyoroti betapa dalam rahsia kewangan menyusup politik global dan mengapa kerajaan dan organisasi global harus mencari jalan untuk mengatasi masalah penyalahgunaan kewangan luar pesisir,” katanya.

Oleh yang demikian, katanya, Ismail dan kabinetnya tidak hanya harus mengambil tindakan proaktif untuk menyiasat individu yang terlibat dengan kebocoran itu tetapi juga apa yang dapat dilakukan untuk menamatkan penyalahgunaan kewangan luar pesisir.

Kit Siang juga mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas parlimen untuk menyiasat individu terlibat dan juga mengkaji bagaimana untuk menamatkan penyalahgunaan kewangan luar pesisir.

Beliau turut mencadangkan usul hari pertama persidangan parlimen baru pada 25 Oktober untuk meminda Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan jawatankuasa pilihan parlimen mengadakan pendengaran awam. – Roketkini.com