Kenyataan Akhbar

PRN Melaka: Pertaruhan kecil yang membawa kesan besar

Oleh Liew Chin Tong

(Pengarah Pendidikan Politik DAP)

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan 20 November 2021 sebagai hari mengundi untuk pilihan raya negeri Melaka. Penamaan calon ialah pada 8 November. Dengan itu, tiada lagi cakap-cakap tentang pengisytiharan darurat.

Mana-mana gabungan parti yang mahu membentuk kerajaan negeri perlu menang sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Melaka.

Meskipun keputusan PRN Melaka tidak akan membawa apa-apa perubahan besar kepada perhitungan kuasa di peringkat persekutuan, ia membawa implikasi penting kerana semua parti politik akan menjadikannya sebagai panduan sebagai persediaan untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Iktibar pilihan raya kecil

Pada 28 April 2007, PKR kalah dalam PRK apabila lebih 80% pengundi India mengundi Barisan Nasional.

Tetapi, PKR memenangi PRU Mac 2008 dengan menyapu bersih kuasa di Selangor. Demonstrasi Hindraf pada November 2007 telah mendorong 80% pengundi India di seluruh negara mengalih undi kepada pembangkang pada PRU tersebut.

Pakatan Harapan juga kalah di kedua-dua PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016, tetapi berjaya memenangi PRU 2018.

Kadang-kala, parti politik menjadikan PRK dan PRN sebagai pengajaran bagi membantu mereka membuat keputusan untuk bersiap-sedia menuju PRU.

Pada Disember 1968, Lim Kit Siang yang ketika itu berusia 28 tahun, telah bertanding dalam PRK DUN Serdang dan tewas dalam perlawanan tiga penjuru antara DAP dan Gerakan, iaitu kedua-dua parti pembangkang baru, menentang calon kerajaan Perikatan.

PRK ini telah memberi inspirasi kepada kedua-dua parti untuk melakukan rundingan kerusi serta mengelak pertembungan sesama sendiri.

Pada April 2011, keputusan PRN Sarawak telah menyaksikan DAP berjaya meningkatkan jumlah kerusi dimenangi sebanyak dua kali ganda, daripada enam kepada 12 kerusi, dan ianya telah menjadi pencetus semangat kepada peralihan undi yang memihak kepada Pakatan Rakyat di peringkat nasional dalam PRU Mei 2013.

Sejak kebelakangan ini, terdapat khabar angin yang mengatakan kerajaan Sarawak pimpinan gabungan GPS akan melakukan PRN dalam tempoh masa yang sama dengan PRN Melaka.

Pelaksanaan darurat di Sarawak atas permintaan kerajaan negeri untuk mengekang penularan Covid-19 yang bermula sejak Jun 2021 akan tamat pada 1 Februari 2022.

Jika PRN Sarawak diadakan lebih awal, GPS dapat mengelak kemasukan pengundi baharu melalui pendaftaran automatik dan Undi18 yang bakal dilaksanakan pada akhir tahun ini.

Kehadiran pengundi muda dan baharu ini mampu mengubah landskap politik negara.

Dilema UMNO

Sejak Merdeka, UMNO mengawal hampir semua negeri di Semenanjung secara total, termasuk menyelaraskan tarikh pilihan raya di antara persekutuan dan negeri.

Malah negeri-negeri pembangkang ketika itu seperti Kelantan yang tidak mahu berhadapan sepenuhnya dengan jentera kempen UMNO-BN jika PRN Kelantan diasingkan daripada PRU, turut sama mengadakan pilihan raya persekutuan dan negeri serentak.

Memandangkan pertaruhan di Melaka bukanlah soal hidup atau mati dan semua gabungan politik kini sedang menghadapi krisis dalaman masing-masing, PRN ini bakal menyaksikan parti-parti politik cuba menyesuaikan diri dengan pelbagai cara untuk menang.

Bagi UMNO, Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tentunya akan menonjolkan dirinya sebagai “boss” dengan memilih calon-calon daripada kalangan mereka yang menyokongnya. Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob juga akan melakukan percaturan yang sama.

Struktur dalaman UMNO yang mengamalkan pemusatan kuasa di tangan presiden hanya bertahan sehingga 2018.

Kini, Perhubungan UMNO Negeri mempunyai kuasa dalam membuat keputusan dalam pemilihan calon.

Ketua Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan proksinya, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, tentunya akan berkeras untuk menentukan calon-calon pilihan mereka.

Kecelaruan BN+PN

Di peringkat nasional, beberapa pemimpin UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu, malah ada yang enggan bekerjasama dengan PAS. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sudah menyatakan bahawa Zahid tidak mahu bekerjasama dengan PAS, tetapi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hassan pula ingin menjalin persahabatan dengan PAS.

Sekiranya PAS masih setia dengan Bersatu (yang dikatakan menjadi pegangan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang), Perikatan Nasional yang diterajui Bersatu masih berpeluang untuk berunding dengan UMNO.

Jika PAS bekerjasama dengan UMNO tanpa Bersatu, maka Bersatu akan hilang kekuatannya. Jika ini berlaku, tentunya Bersatu tidak akan gembira tetapi ia tidak mampu menjatuhkan kerajaan persekutuan. Malah, ia bakal kalah teruk jika PRU diadakan lebih awal.

Ada juga cakap-cakap bahawa mantan pemimpin kanan PKR Datuk Zuraida Kamaruddin akan menubuhkan parti politik berbilang kaum baharu dalam PN untuk bekas pemimpin dan ahli PKR yang diketepikan oleh Bersatu.

Kamarazaman Yaakob, abang kepada Ismail Sabri pula telah menubuhkan parti baharu ala PKR yang mesra BN untuk mengisi kekosongan MCA dan MIC yang gagal memulihkan pengaruh mereka sejak 2008.

Saya rasa MCA dan MIC akan diberi beberapa kerusi tambahan untuk bertanding dan mereka mungkin kalah, tetapi UMNO akan merampas semua kerusi majoriti Melayu campuran berbilang kaum yang dahulunya pernah ditandingi MCA dan MIC. UMNO tidak mampu lagi menjadi “abang yang baik” kerana ia sendiri hampir lemas dengan kemelut politik dalamannya.

Dalam konteks ini, DAP perlu bersedia bertanding melawan calon UMNO sekurang-kurangnya di empat daripada lapan kerusi yang ditandingi parti di Melaka pada 2018. DAP perlu menyakinkan pengundi berbilang kaum, khususnya di kawasan separa bandar.

Cabaran Pakatan Harapan

PRN Melaka bakal menyaksikan PH berhadapan dengan isu duri dalam daging, iaitu menentukan logo mana untuk digunakan. Akhir Mac yang lalu, pemimpin nasional DAP dan Amanah telah bersetuju untuk menggunakan logo Pakatan Harapan pada PRU akan datang.

Majlis Presiden PH kemudiannya pada 23 Ogos turut membuat keputusan untuk menggunakan logo Harapan. Namun, masih ada kalangan dalam PKR melobi bagi menggunakan logo PKR untuk PH.

Mungkin akhirnya semua parti komponen PH akan menggunakan logo Harapan.

Tetapi, memandangkan pertaruhan dalam PRN Melaka bukanlah soal hidup atau mati, PKR mungkin mahu menguji penggunaan logonya sendiri, dan PH akan bertanding dengan dua logo yang berasingan.

Jika gabungan PH bersatu di bawah logo Harapan, pengundi akan melihatnya sebagai satu pasukan yang bersatu padu, berkesinambungan, dan meyakinkan sehingga PRU akan datang.

Jika kedua-dua logo PKR dan Harapan untuk PH digunakan dalam PRN Melaka, masalah ini mungkin berterusan sehingga PRU. Jika ini berlaku, ia bakal mencetuskan satu penyusunan baharu.

Menarik juga untuk melihat langkah yang akan diambil oleh Datuk Seri Idris Haron, bekas Ketua Menteri Melaka dan pemimpin yang telah berpaling tadah daripada UMNO sehingga mencetuskan PRN – parti manakah yang beliau akan sertai selepas dipecat daripada UMNO pada 14 Oktober yang lalu?

Dengan mengambil kira populariti bekas Ketua Menteri PH Melaka, Adly Zahari, perpecahan dalaman UMNO, dan konflik UMNO dengan PAS dan Bersatu, jika PH pimpinan Adly dapat bersatu-padu, ia akan memberi saingan sengit buat UMNO.

Namun, kadar keluar mengundi akan memberi kesan kepada prestasi PH. Pada PRU yang lalu, PH berjaya memenangi kerusi di Semenanjung kerana kadar keluar mengundi yang sangat tinggi. Ramai pengundi yang bekerja di bandar-bandar besar tetapi mengundi di kampung halaman mereka telah pulang mengundi.

Kali ini, kebimbangan terhadap Covid-19, sukar bercuti kerana bekerja di Singapura, kecewa dan lesu dengan konflik politik, serta sedar bahawa PRN Melaka bukanlah situasi hidup atau mati, mungkin menjadi punca kadar keluar mengundi yang rendah.

Walau apapun, PRN Melaka bukanlah sesuatu yang mudah untuk semua gabungan politik yang bertanding. – Roketkini.com