Berita

PRN Melaka: DAP setuju guna logo PH, Adly calon ketua menteri

DAP Kebangsaan dan DAP negeri Melaka sebulat suara bersetuju untuk menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) sebagai lambang perjuangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, DAP turut menyokong Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

Menurut beliau, DAP juga menolak Norhizam Hassan Baktee yang telah mengkhianati mandat rakyat untuk bertanding dalam PRN sebagai calon PH.

“SPR harus memanggil semua parti politik tanpa memihak kepada parti pemerintah untuk bincang tentang prosedur operasi standard (SOP) PRN agar pilihan raya dapat dijalankan dengan adil, bebas, berkecuali dan bersih serta selamat tanpa melumpuhkan perjalanan demokrasi dalam PRN ini.

“Biar rakyat buat keputusan tanpa dikongkong, diugut, difitnah atau disogok politik wang. Rakyat Melaka berhak mendapat kerajaan yang mewakili dan menjaga semua tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama,” katanya hari ini.

Guan Eng berkata, disebabkan pergolakan dalaman kerajaan negeri Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) Melaka dan tindakan salah Ketua Menteri menasihatkan Yang Di-Pertua Negeri untuk bubar Dewan Undangan Negeri (DUN), maka PH Melaka tiada pilihan selain mencabar keputusan tersebut di mahkamah.

Tambahnya, pada masa yang sama menggerakkan jentera bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam PRN pada 20 November.

“Dalam masa sehari, selepas mesyuarat di ibu pejabat DAP Melaka, saya dan Sdr Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Mertajam bersama kepimpinan DAP Melaka telah menjelajah seluruh negeri Melaka.

“Dan melawat lebih 500 ahli-ahli akar umbi dalam 10 DUN di Paya Rumput, Pengkalan Batu, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Duyong, Ayer Keroh, Bemban, Gadek, dan Lendu untuk meninjau persiapan operasi kempen pilihan raya,” katanya. – Roketkini.com.