Kenyataan Akhbar

Tubuhkan “Truth Commision” siasat kegagalan kerajaan tangani Covid-19 ketika darurat

Kenyataan media Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran: 

Pada Januari 2021, dibawah pentadbiran Perikatan Nasional, proklamasi darurat menjadi warta kerajaan persekutuan yang dikatakan kesan daripada pandemic Covid-19. 

Namun, apa yang kita saksikan ialah, darurat ini digunakan untuk menggantung parlimen bagi membantu kerajaan Ketika itu untuk meneruskan kuasanya.

Dalam sistem demokrasi berparlimen yang sekian lama kita amalkan, penyalahgunaan proklamasi darurat ini menjadi detik paling hitam dalam sejarah negara. Malah, ketika darurat dikatakan untuk mengawal Covid-19, ia sebenarnya memburukkan lagi keadaan apabila jumlah peningkatan kes dan jumlah kematian ketika itu kian bertambah saban hari. 

Ia adalah kali pertama dalam lebih 50 tahun darurat negara diisytiharkan, dan hanya kali kedua parlimen digantung sejak merdeka daripada British pada 1957.

Pada bulan Januari yang sama juga menunjukkan, kes Covid-19 harian mencatatkan rekod baharu daripada 3,309 kepada 22,948 pada Ogos lepas.

Apakah penjelasan daripada pihak kerajaan berkenaan ledakan kes dan kematian tersebut?

Adakah tumpuan kerajaan ketika darurat adalah menguruskan perebutan kuasa di kalangan mereka, berbanding mengurus Covid-19? 

Satu suruhanjaya khas mesti dibentuk untuk menyiasat, apakah yang sedang berlaku ketika proklamasi darurat dilaksanakan? Adakah proklamasi darurat digunakan di jalan yang sepatutnya atau untuk mengurus perebutan kuasa di kalangan mereka?

Truth Commission merupakan badan rasmi yang ditubuhkan bagi menyiasat pelanggaran hak asasi manusia, jenayah perang, atau pelanggaran serius lain dan bertujuan untuk mengenal pasti sebab dan akibat penyalahgunaan ini.

Daripada suruhanjaya ini satu laporan boleh dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen. 

Laporan itu juga mesti diterbitkan secara umum sebagai rujukan awam. Perkara ini penting agar penyalahgunaan darurat di masa akan datang dapat dibendung.

Rakyat Malaysia, terutama yang terlibat dengan Covid-19 – yang kehilangan ahli keluarga akibat wabak ini berhak mengetahui bagaimana kerajaan menggunakan proklamasi darurat, lebih-lebih lagi apabila kerajaan ketika itu berikrar menggunakan proklamasi darurat ini bagi mengawal Covid-19.

Seluruh kabinet Perikatan Nasional harus dipertanggungjawabkan atas ketidakcekapan dan lebih menumpukan perhatian terhadap perebutan kuasa di kalangan mereka dalam tempoh yang begitu tragis dalam sejarah negara.

Ironinya, barisan menteri tersebut jugalah, kini berada dalam kabinet kerajaan hari ini tanpa sedikit pun rasa malu terhadap rakyat Malaysia yang terdera akibat kelemahan mereka dalam pentadbiran.

Adakah mereka akan meminta maaf kepada rakyat Malaysia? Kita akan ketahui nanti.