Berita, Rencana

Covid-19: Khairy ada setengah tahun pulihkan imej negara

Oleh Lim Kit Siang

(Ahli Parlimen Iskandar Puteri merangkap Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP)

Tahniah kepada Khairy atas pencalonan sebulat suara oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Kawasan Serantau Pasifik Barat (WPR) untuk beliau sebagai Naib Presiden ke-75 Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang akan berlangsung di antara 22 hingga 28 Mei 2022 di Geneva. 

Khairy kini ada setengah tahun untuk Malaysia memulihkan imej negara yang dilihat sebagai negara dengan prestasi terburuk dalam mengendalikan Covid-19.

Amat membimbangkan apabila angka kes harian ini telah meningkat kepada 6,148 kes, membawa kepada sejumlah 2,448,372 kes dan kadar kematian akibat Covid-19 masih kekal tinggi dengan 98 kematian, termasuklah 32 kes BID, membawa jumlah keseluruhan korban akibat Covid-19 kepada 28,674 kematian. 

Setakat ini, Malaysia berada di tempat ke-20 dengan jumlah kes terkumpul tertinggi di dunia dan kita adalah negara dengan populasi terkecil dalam senarai ini. Senarai ini diketuai oleh Amerika Syarikat yang mempunyai 333 juta penduduk dengan 46.5 juta kes Covid-19; tempat kedua, India, 1.4 bilion penduduk dengan 34 juta kes; tempat ketiga, Brazil dengan populasi 215 juta dan 21.7 juta kes; United Kingdom di tempat keempat dengan 68 juta penduduk dan 8.9 juta kes Covid-19, dan Rusia di tempat kelima dengan 146 juta penduduk dan 8.4 juta kes Covid-19. 

Namun, kadar kematian akibat Covid-19 semalam meletakkan Malaysia dalam kalangan 15 negara teratas di dunia, melebihi Indonesia yang mencatatkan 29 kematian; Vietnam 54 kematian; Jepun 14 kematian; dan Korea Selatan dengan sembilan kematian.

Peningkatan kes dan kadar kematian ini adalah satu perkara yang membimbangkan apabila negara kita sedang berada dalam proses pembukaan semula untuk menghidupkan semula ekonomi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 dan 20 November sebagai tarikh penamaan calon dan hari mengundi untuk Pilihan Raya Negeri Melaka. 

Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mendapatkan pendapat semua pihak mengenai SOP yang dilaksanakan untuk menyeimbangkan pembukaan semula ekonomi, pelaksanaan pilihan raya yang bebas, adil, dan bersih, dan objektif memenangi perang melawan wabak Covid-19. — Roketkini.com