Berita

Tolak 4 ADUN Melaka – CEC DAP

Oleh Roketkini

DAP sebulat suara menolak kesemua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan daripada ketua menteri Melaka sebelum ini, untuk diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP malam tadi.

Menurutnya, DAP konsisten dalam mempertahankan prinsip, cita-cita dan integriti bahawa PH mesti menjarakkan diri daripada ‘kleptokrat, oportunis dan penyangak’.

Tambahnya, ini bagi mengekalkan serta tidak kehilangan ketinggian nilai moral.

“Dikatakan bahawa untuk mencapai kemenangan di Melaka, kita mesti secara taktikal bergabung dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan kemenangan kepada PH.


“Bagaimanapun, matlamat itu tidak menghalalkan cara, terutamanya apabila komitmen mereka terhadap pembaharuan politik tulen yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara diragui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat ADUN iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali

Majlis Presiden PH pada 21 Oktober memutuskan untuk tidak meletakkan Norhizam sebagai calon dalam PRN Melaka.

Dalam pada itu, jelas Guan Eng, DAP malangnya telah kalah undian dalam PH oleh PKR dan Amanah, dan terpaksa akur dengan keputusan majoriti demi kepentingan perpaduan gabungan tersebut.

Walau bagaimanapun tambahnya, ini tidak bermakna keputusan majoriti sepertimana dibuat sebelum itu adalah betul.

Guan Eng memberitahu, DAP berharap kewarasan akan tertegak dalam PH serta menggesa sekutunya dalam gabungan itu untuk memilih mereka yang ikhlas ke arah aspirasi PH dan bukan mereka yang bermotifkan politik oportunisme semata-mata.

“PH tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan ketinggian nilai moral dengan membenarkan dua daripada empat ADUN berkenaan bertanding sebagai calon PH pada PRN Melaka,” katanya. – Roketkini.com