Berita

PRN Melaka: PH sedia kembalikan wibawa Melaka

Oleh Roketkini

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini bukanlah medan yang boleh dipandang remeh kerana sebarang kesilapan dalam memilih wakil rakyat hanya akan merugikan semua.

Koordinator DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Muhamad Danish Zainudin berkata, Pakatan Harapan (PH) adalah gabungan yang telah bersedia untuk mengembalikan kewibawaan Negeri Melaka.

“Dan adalah diharapkan para pengundi semua dapat membuat pilihan yang tepat demi masa depan kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, PRN Melaka bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh mana-mana pihak tetapi ia harus diraikan sebagai satu proses demokrasi untuk membina semula kestabilan politik dalam negeri itu.

Menurutnya, anak muda Melaka akan menjadi kumpulan yang amat penting dalam menentukan kesinambungan tadbir urus negeri.

Beliau memberitahu, golongan itu akan menentukan sama ada akan dipimpin oleh sebuah kerajaan yang gagal atau sebuah kerajaan rencam yang meletakkan keperluan rakyat sebagai kepentingan utama dalam menentukan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Tegasnya, tiga tumpuan yang seharusnya menjadi keutamaan pada ketika ini adalah untuk menangani kemiskinan, mewujudkan pelan jangka panjang yang komprehensif pasca Covid-19 serta tawaran untuk anak muda Melaka.

Sejak kembalinya pentadbiran kerajaan gabungan parti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di Seri Negeri pada Mac 2020, beliau berkata, kestabilan pemerintahan dilihat amat membimbangkan sehingga berpotensi menjejaskan pembuatan dasar dan polisi yang lebih mesra rakyat.

“Anak muda Melaka adalah golongan sasar yang menentukan hala tuju negeri untuk masa depan,” katanya.

Tambahnya, isu pengangguran tenaga kerja, pembentukan generasi tercicir dan pemantapan kemahiran pasca Covid-19 seharusnya menjadi tumpuan utama kesemua parti politik yang bertanding bagi memastikan sebuah perancangan strategik untuk memberdaya anak muda dapat dirancang serta dimuktamadkan.

“Sebagai contoh, sepanjang hampir 400 hari  bergelar Koordinator DAP DUN Pengkalan Batu dan Setiausaha DAPSY Melaka, saya telah bersua dengan ramai penduduk yang menyuarakan masalah anak-anak mereka yang hilang pekerjaan sehingga ada yang terpaksa mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan bagi membantu ibu bapa untuk menyara kehidupan seharian.

“Selain itu, isu yang berkait dengan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti juga adalah isu penting kerana kebanyakan isi rumah yang saya temui tidak berkemampuan untuk mempunyai peranti elektronik tambahan atau canggih sehingga berpotensi untuk mewujudkan sebuah komuniti masa depan yang tercicir,

 katanya. – Roketkini.com