Berita

Beri ruang media rasmi seluasnya kepada semua parti

Oleh B. Suffian

Demi memastikan perlawanan politik Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlaku di atas padang yang sama rata, Pakatan Harapan (PH) menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk memberi ruang media rasmi kepada semua parti secara adil.

Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH dalam satu kenyataan memberitahu, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang diterbit Majlis Keselamatan Negara berhubung PRN Melaka, semua aktiviti berkempen yang melibatkan pertemuan di antara calon dan pengundi secara fizikal adalah tidak dibenarkan.

Menurut kenyataan itu, larangan itu termasuk ceramah, ziarah rumah ke rumah dan aktiviti ‘walkabout’.

“Ini bermaksud kempen secara tradisional tidak lagi dibenarkan. Namun berkempen sepenuhnya secara media sosial juga belum dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Para pengundi di Melaka yang tinggal di kawasan dengan capaian internet atau telekomunikasi yang tidak baik, atau tidak mempunyai telefon pintar, atau tidak fasih media sosial, bakal tertinggal dari menerima maklumat tepat dan terkini dari calon parti-parti yang bertanding.

“Mereka sudah pasti mempunyai akses kepada saluran maklumat yang lebih tradisional seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Ini akan mengakibatkan kesenjangan akses maklumat serta ketempangan amalan demokrasi yang wajib diatasi,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, jelas kenyataan tersebut, menteri terlibat digesa untuk segera melaksana perkara-perkara berikut:

  1. Memberi ruang sekurang-kurangnya 30 min bagi setiap parti, setiap malam untuk berceramah di TV1, TV2, dan Bernama TV;
  2. Memberi ruang sekurang-kurangnya 60 min bagi setiap parti, setiap hari untuk berceramah menggunakan Melaka FM dan Bernama Radio; dan
  3. Program forum perdana yang diwakili setiap parti diadakan sekurang-kurangnya sekali melalui saluran TV dan radio rasmi sepanjang tempoh kempen PRN Melaka.

“PH percaya dengan membenarkan semangat lebih terbuka media rasmi terhadap semua pihak ini akan merancakkan lagi amalan demokrasi di Malaysia,” katanya.

Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH dianggotai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam), Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut), Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang), Chan Ming Kai (Ahli Parlimen Alor Setar), Soraya Salim (Setiausaha Angkatan Wanita Amanah Negara) dan Loh Ker Chean (Pengarah Komunikasi Wanita PKR) – Roketkini.com