Uncategorized

Allex tidak pernah sekali-kali berhenti bekerja untuk Kesidang

oleh Ghafar NS

“Undilah Pakatan Harapan, untuk Ketua Menteri dan sebuah kerajaan negeri yang benar-benar prihatin menjaga rakyat,” kata penyandang N19 DUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin.

Allex (38 tahun) merupakan salah seorang penyandang Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan berlangsung pada 20 November 2021.

Allex (tengah) bersama Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan Adun Kinrara Ng Sze Han

Melalui satu sesi Ceramah Digital Kesidang pada 8 November 2021, beliau telah menceritakan kerja khidmat yang telah dicurahkannya sebelum ini sebagai ADUN Kesidang bermula tahun 2018.

Menurutnya, DUN Kesidang adalah kawasan terbesar di Melaka dan isu-isu di situ berkait dengan masalah air, banjir, perparitan dan infrastruktur.

“Sebagai wakil rakyat yang masih muda, tenaga dicurahkan dalam usaha memastikan penduduk di DUN Kesidang lebih selesa lebih-lebih lagi ketika mengalami bencana banjir.

“Saya sendiri akan turun ke kawasan-kawasan yang dilaporkan bersama dengan pegawai serta sukarelawan mencari punca banjir, perparitan atau infrastruktur bermasalah dan terus memutuskan jalan penyelesaian.” katanya.

Banyak infrastruktur perparitan di sekitar DUN Kesidang telah ditambah baik hasil usaha pantas Allex dan pasukannya membuatkan hidup penduduk di kawasan tersebut lebih selesa.

Allex ketika menyampaikan bantuan makanan dari rumah ke rumah kepada penduduk memerlukan di Kesidang.

Malah, Allex juga menegaskan bahawa wakil-wakil rakyat dari Pakatan Harapan yang dilantik oleh mandat rakyat pada 2018, tidak pernah sekali-kali berhenti bekerja dan berkhidmat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat sama ada ketika menjadi kerajaan, ataupun setelah kuasa dirompak oleh tangan-tangan jahat yang tamakkan kuasa.

“Penting untuk para pengundi Melaka kali ini bijak membuang undi dan membezakan calon atau penyandang yang bertanding bagi memastikan kebajikan mereka dapat dipelihara,” tegasnya. – Roketkini.com

Ceramah Digital Kesidang 8 November 2021.