Berita

Kok Kiew ikrar beri perkhidmatan terbaik

Calon Pakatan Harapan N24 DUN Bemban, Tey Kok Kiew berikrar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik jika dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Berbekalkan pengalaman sebagai Adun selama tiga penggal dan ahli jawatankuasa kerajaan negeri (Exco), beliau yakin dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu itu.

“Untuk menjadi kerajaan kita harus menang di DUN Bemban.

“Dari segi hubungan saya dengan akar umbi saya rasa saya calon yang paling sesuai untuk bertanding di kawasan DUN Bemban ini. 

“Pada masa yang sama, saya juga berharap dapat memberi peluang dan ruang untuk muka baru bertanding di DUN Bandar Hilir (yang dimenangi beliau pada PRU-14),” katanya kepada Roketkini. 

Untuk rekod, DUN Bemban dimenangi oleh Dr Wong For Pin atas tiket PKR pada PRU-14 yang lalu. Manakala, DAP mempertaruhkan muka baru, Leng Chau Yen di kerusi DUN Bandar Hilir.

Ikrar majukan DUN Bemban

Mengulas lanjut, Kok Kiew yang juga merupakan Pengerusi DAP Melaka berkata, beliau berikrar menyelesaikan isu banjir yang telah menghantui penduduk di DUN Bemban sejak sekian lama. 

“Antara langkah-langkah yang perlu dibuat adalah untuk pastikan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Jasin bernilai RM60 juta yang telah diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 dilaksanakan dan diselesaikan dengan kadar segera,” katanya. 

Tambahnya, beliau juga berhasrat untuk menjadikan Bandar Jasin yang terletak di DUN Bemban sebagai destinasi pelancongan. 

Ini sekali gus, katanya, dapat merancakkan semula ekonomi setempat yang terjejas terus akibat penularan Covid-19. 

“Bandar Jasin mempunyai keunikan dan kecantikannya yang tersendiri.

“Jika ia diperluaskan dan dijadikan tempat pelancongan ia berpotensi menjadi destinasi pelancongan. 

“Ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan sektor pelancongan di negeri Melaka,” ujarnya. 

Selain itu, beliau juga mahu memperluaskan skim bas percuma yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan di Melaka sebelum ini, ke kawasan-kawasan luar bandar. 

“Semasa kita jadi kerajaan 22 bulan, Pakatan Harapan telah mulakan inisiatif bas percuma di melaka, tetapi ia tertumpu di Bandar Melaka sahaja.

“Tetapi jika diberi peluang, kita berhasrat untuk memperluaskan perkhidmatan bas percuma ini sehingga ke luar bandar termasuk Jasin,” katanya. 

Bagi memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dan terbaik kepada rakyat, beliau turut berhasrat untuk mewujudkan pasukan khas gerak tindakan cepat 24 jam membabitkan Majlis Perbandaran Jasin. 

“Aduan-aduan seperti jalan berlubang yang membahayakan pemandu motor akan diambil tindakan segera.

“Jika (pasukan) ini ditubuhkan saya yakin ia dapat membantu meningkat mutu perkhidmatan majlis perbandaran kepada orang ramai,” katanya. — Roketkini.com