Berita, Isu Semasa

PRN Melaka “reset button” untuk Melaka peroleh pemimpin peduli rakyat

oleh Ghafar NS

Ketika calon Ketua Menteri Melaka dari Barisan Nasional (BN) menolak cadangan debat, semalam (11 November 2021) telah berlangsung satu sesi forum bicara sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 bertajuk “BN, PH, PN – Siapa Pilihan Anda?” yang disertai penyandang Pakatan Harapan (PH) bagi DUN N.16 Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan calon BN, Yong Fun Jun.

Sesi bicara atas talian yang diadakan 100% dalam bahasa Melayu itu mendapat tontonan 14,000 penonton dan menerima komen-komen positif ramai kerana sesi ini memperlihatkan kemampuan kedua-dua calon membahas isu berkaitan penduduk Melaka dengan rasional dan jelas.

Inisiatif jemputan forum bicara ini dimulakan oleh Chee Yee yang mengajak dua lagi lawannya untuk berbahas isu masa depan rakyat Melaka, sekali gus para pengundi dapat membuat penilaian sendiri berkenaan ideologi politik antara calon yang bertanding.

Menurut Chee Yee, walaupun PH tidak bersetuju dengan pembubaran DUN yang memaksa PRN Melaka ini diadakan ditengah-tengah kemelut pandemik dan ekonomi, beliau merasakan ini peluang baik buat rakyat Melaka menekan “reset button” mencari jalan keluar daripada terus dipimpin sebuah kerajaan negeri yang tidak serius memberi yang terbaik buat seluruh negeri Melaka.

Menerusi sesi tersebut, masing-masing diberi peluang untuk memperkenalkan diri, menerangkan tentang manifesto dan bertanyakan soalan kepada pihak lawan.

Apabila ditanyakan oleh calon BN berkenaan pandirian DAP apabila Pakatan Harapan (PH) menerima “katak politik” untuk berkuasa, Chee Yee menyangkal dakwaan tersebut dan berkata, “DAP secara berprinsip tidak menerima ‘katak politik’ ini, namun atas keputusan secara konsensus yang dibuat diperingkat PH, kami harus melihat akan cabaran yang perlu dilalui terutama dalam PRN ini.”

Menurutnya juga, situasi ini boleh dinilai sendiri oleh rakyat Malaysia, apabila pihak UMNO-PN sendiri yang berebut kuasa hingga PRN ini terpaksa dilaksanakan juga walaupun ramai masih bimbang akan penularan Covid-19 dan dibelenggu masalah ekonomi.

Sedih, kata penyandang DUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee kerana katanya banyak polisi dan dasar baik diperkenalkan Kerajaan PH Melaka sebelum ini tidak diteruskan selepas pentadbiran PH Melaka dijatuhkan PN.

“Kita juga tidak nampak sebarang alternatif dilaksanakan bagi mengganti polisi serta dasar baik untuk rakyat Melaka yang telah disediakan PH,” katanya.

Dalam sesi tersebut, Chee Yee turut menegaskan bahawa perubahan boleh berlaku dengan adanya penyertaan dari semua pihak, dan ini memerlukan para pengundi untuk keluar mengundi dan bangkit percaya kepada sistem demokrasi di Malaysia. – Roketkini.com