Uncategorized

Pilih calon HARAPAN, pulih masalah banjir Melaka!

oleh Ghafar NS

Tiada jalan lain. Pada 20 November 2021 ini, rakyat Melaka yang mahukan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan benar-benar pedulikan mereka, perlu pilih calon-calon dan para penyandang dari Pakatan Harapan (PH) yang mengangkat Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri negeri tersebut.

Semua dengan jelas sedar setelah pentadbiran negeri Melaka dirompak oleh tangan-tangan yang tamakkan kuasa usai Langkah Sheraton, usaha-usaha terdahulu PH Melaka tidak diteruskan kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) dan tiada inisiatif lain yang memberi impak besar terhadap pembangunan negeri & ekonomi rakyat, lebih-lebih lagi ketika ramai yang terseksa bergelut dengan isu-isu dampak pandemik Covid-19.

Tidak perlu melihat banyak isu, Melaka antara negeri yang mudah dinaiki bah akibat banjir kilat.

Sungguhpun PH dapat mentadbir Melaka dalam tempoh 22 bulan sahaja, beberapa projek utama sempat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat.

Di Ayer Keroh, penyandang PH, Kerk Chee Yee berkata antara projek yang telah dilaksanakan semasa beliau menjadi ADUN di situ adalah pembinaan rumah pam dan penaiktarafan longkang di Melaka Baru, penambahan unit pam di Rumah Pam Kampung Sungai Putat, penaiktarafan longkang di Jalan Jelutong, Taman Jati, Taman Kerjasama, Medan Selera Bukit Beruang, dan lain-lain.

Chee Yee dalam satu kenyataan media mempersoalkan dalam 19 bulan Kerajaan PN memimpin Melaka, telah banyak cadangan yang sepatutnya kerajaan negeri terima dan boleh laksanakan, malah Chee Yee sendiri telah menghantar 15 cadangan, namun mengapa hanya satu cadangan sahaja dilaksanakan (penggantian flap gate yang telah hilang)?

Malah, kerajaan negeri PN juga pernah berjanji untuk laksanakan satu projek penambahbaikan mengurangkan risiko banjir pada Mei 2021.

“Sudah siapkah projek penambahbaikan kolam takungan air yang dijanji siap pada November 2021 ini dengan peruntukan sebanyak RM900 ribu?” Soal Chee Yee.

Menurutnya, jika projek RM900 ribu yang dijanji sejak Mei 2021 pun tidak dapat diselesaikan dengan segera, bagaimana Barisan Nasional (BN) mahu memenuhi janji manifesto mereka dalam PRN Melaka ini, iaitu Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi menyelesaikan masalah banjir kilat dengan peruntukan lebih daripada RM900 juta?

“Pilihanraya ini memberi peluang pada rakyat Melaka memilih kerajaan negeri bagi lima tahun ke hadapan.

“Maka penting untuk penduduk Melaka keluar mengundi dan memilih wakil rakyat dengan rekod prestasi yang benar-benar meyakinkan dalam menambah baik kehidupan dan ekonomi negeri dalam situasi mencabar ini,” tambahnya. – Roketkini.com