Rencana

PRN Melaka: Pengundi Melaka, ayuh keluar mengundi!

Oleh Aziera NH

Setiap satu undi adalah amat berharga dalam menentukan masa hadapan politik dan ekonomi negeri Melaka.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, ramai yang salah faham menyangka selepas mereka keluar mengundi kali ini, mereka akan keluar undi sekali lagi pada pilihan raya umum (PRU) depan.

“Jadi, ramai yang ingat ‘kali ini tidak payahlah’. Mungkin kita tunggu PRU-15 kerana takut Covid dan sebagainya, mereka tunggu PRU-15 untuk mengundi.

“Itu satu kesilapan dari segi pemahaman kerana kali ini kita mengundi untuk ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka untuk satu penggal baharu,” katanya dalam sesi webinar sempena PRN Melaka baru-baru ini.

Jelas Loke, penggal baharu itu adalah untuk lima tahun yang akan datang dan ADUN tidak akan dibubarkan apabila ada PRU kerana di peringkat kebangsaan kita memilih ahli-ahli Parlimen.

“Dan untuk Melaka apabila DUN itu tidak dibubarkan bersekali dengan Parlimen maka ia tidak akan ada pemilihan di peringkat ADUN.

“Maka, wakil-wakil rakyat peringkat negeri akan terus menjalankan tanggungjawab mereka seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyeru agar pengundi Melaka memilih calon anak muda untuk pastikan impian dan suara generasi yang akan datang berkumandang kuat di dalam DUN Melaka.

“Pengundi DUN Pengakalan Batu, pastikan anda balik untuk mengundi calon Pakatan Harapan, Saudara Danish dalam kertas undi nombor 1,” katanya dalam satu video yang dimuatnaik dalam laman Facebooknya.

Manakala ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali turut mengingatkan agar rakyat Melaka keluar mengundi beramai-ramai pada 20 November nanti.

“Jangan lupa rakyat Melaka. Keluar mengundi ramai-ramai pada 20 November 2021 nanti. Undi Pakatan Harapan!” katanya dalam satu hantaran Facebook. – Roketkini.com