Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Ke kedai kopi selamat, ke pusat undi lebih selamat lagi – Guan Eng

Oleh Ghafar NS

“Tanpa peratusan keluar mengundi yang tinggi lebih-lebih lagi para pengundi ditekan dengan situasi semasa, memberi cabaran hebat kepada kami calon Pakatan Harapan (PH),” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, jika rakyat Melaka tidak bersama-sama keluar mengundi PH pada 20 November 2021 nanti, ini memberi kelebihan besar buat Barisan Nasional (BN) untuk menawan semula pentadbiran Melaka.

Persoalannya, adakah ini yang rakyat Melaka mahukan?

Beliau turut memetik kenyataan mantan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bahawa prosedur operasi standard (SOP) di pusat mengundi yang dikeluarkan adalah lebih ketat daripada kedai-kedai kopi atau pusat membeli-belah.

“Sekiranya pergi ke kedai kopi atau pusat membeli-belah anda rasakan selamat, pasti di pusat mengundi lebih selamat lagi,” tambah Ahli Parlimen Bagan itu.

Beliau turut mengingatkan semua pengundi Melaka untuk pangkah ‘HARAPAN’ dalam kertas undi di pusat mengundi masing-masing nanti supaya dapat bersama memberi harapan baharu buat masa depan negeri dan anak-anak di Melaka.

Tambahnya, jika mahukan Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka semula, mahukan dasar-dasar menerusi Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan terlaksana dan bukan menjual negeri ini kepada kroni-kroni, maka rakyat Melaka perlu mengundi PH untuk sebuah pentadbiran yang stabil dan menjaga kebajikan semua rakyat.

Dalam pada itu, Guan Eng turut berharap rakyat Melaka bijak membuat pilihan untuk mengundi calon atau penyandang yang benar-benar membawa aspirasi menambah baik hidup rakyat, bukan mereka yang suka bermain dengan isu-isu sensitif serta sengaja menghangatkan perbalahan antara kaum dan jelas tidak menguntungkan sesiapapun.

Pilih ‘HARAPAN’, Pulih Melaka!