Kenyataan Akhbar

Hadiah RM100 juta Najib sama dengan peruntukan MITRA

Kenyataan Media V. Sivakumar Ahli Parlimen Batu Gajah di Dewan Rakyat pada 18/11/2021

Saya rasa amat kecewa apabila terbongkar isu tentang pemberian hadiah oleh kerajaan hari ini kepada mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Isu ini telah menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat. Kabinet telah meluluskan permohonan untuk menyediakan peruntukan RM100 juta untuk pembelian sebidang tanah bernilai  RM60 juta dan membina sebuah rumah kediaman di tanah itu bernilai RM40 juta.

Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato Sri Zafrul mengaku bahawa kerajaan telah menerima permohonan itu daripada Mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak. Perkara itu telah dibawa dan dibincangkan di Kabinet. Kononnya, ia masih belum dimuktamadkan lagi. Walau bagaimanapun, beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa perkara itu akan dimasukkan dalam Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun hadapan.

Bukankah ini bermakna permohonan tersebut telah diluluskan oleh Kabinet tetapi beliau tidak berani untuk mengaku terang-terang di Dewan Rakyat. Kita dapat membaca daripada gaya pertuturan dan bahasa badan Menteri Kewangan bahawa permohonan Najib itu telah pun dipersetujui oleh Kabinet Perikatan-Barisan Nasional.

Tindakan kerajaan itu adalah sesuatu yang cukup luar biasa. Pemberian hadiah seperti ini kepada Mantan Perdana Menteri adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa dan boleh dianggap sebagai ketirisan yang keterlaluan. Ketika rakyat hidup melarat, pemimpin kleptokrat pula diberi hadiah lumayan.

Dalam perdebatan hangat di Dewan Rakyat hari ini, saya juga menimbulkan isu berkaitan dengan MITRA. Dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah meluluskan RM100 juta kepada MITRA untuk pembangunan sosio-ekonomi kaum India. Peliknya, masyarakat India yang berjumlah lebih kurang 2 juta orang iaitu 7% daripada populasi rakyat Malaysia hanya menerima RM100 juta untuk tujuan pembangunan sosio-ekonomi.

Manakala kerajaan yang rakus ini bersedia untuk meluluskan RM100 juta kepada ‘seorang individu’ yang telahpun dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah. Adakah ini adil? Adakah ini wajar? Adakah ini sesuatu yang boleh diterima oleh rakyat?

Saya berharap, pengundi-pengundi di Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka akan membuat pilihan yang bijak pada hari Sabtu nanti. Satu undi kepada calon Perikatan Nasional atau Calon Barisan Nasional bermakna tanda persetujuan kita untuk menyokong pemberian hadiah RM100 juta kepada Najib Tun Razak.

Tepuk dada, tanya selera! Adakah kita akan menyokong pemimpin-pemimpin yang menganiaya rakyat demi kepentingan politik dan mencari harta dengan cara keji seperti ini.

Undilah calon-calon Pakatan Harapan di PRN Melaka !