Isu Semasa

DAP Melaka hargai para pengundi

oleh Ghafar NS

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada 20 November 2021 lalu menyaksikan parti DAP yang bertanding di bawah logo HARAPAN memenangi empat kerusi daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee yang berjaya mengekalkan kedudukannya di kawasan itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang masih memberi kepercayaan kepadanya.

Beliau juga telah menjalankan lawatan ke pasar pagi di Bukit Beruang untuk bertemu langsung dengan para penduduk yang rata-rata meluahkan rasa gembira apabila Pakatan Harapan (PH) menang di DUN Ayer Keroh.

“Sebagai ADUN Ayer Keroh, saya akan terus berusaha dan berjuang demi warga Ayer Keroh dan Melaka!” Katanya dalam satu kemas kini Facebook-nya semalam.

Dalam pada itu, Adun baru DUN Bandar Hilir, Leng Chau Yen turut memuat naik satu status di Facebooknya dengan mengucapkan penghargaan kepada para pengundi yang memberi kepercayaan padanya dan berjanji akan berusaha untuk gigih berkhidmat bagi penduduk kawasannya.

Chau Yen bertemu peniaga di Pasar Eng Seng dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mengundinya.

Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong dalam satu kenyataan di Facebook-nya berkata, beliau merasa rendah diri dan amat berterima atas sokongan penduduk Kota Laksamana.

“Kami akan memberi khidmat terbaik dalam lima tahun ini untuk Kota Laksamana, Melaka dan demi Malaysia,” katanya terharu.

Seorang lagi Adun Kesidang, Allex Seah Shoo Chin turut menyatakan terima kasihnya kepada semua pengundi, sukarelawan, penyumbang, penyokong dan ahli-ahli parti DAP yang bersama sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Sehari selepas dipilih sebagai Adun kawasan, beliau terus menggerakkan pasukan sanitasi untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi di sekolah yang telah dijadikan pusat mengundi bagi memastikan keselamatan anak-anak pelajar dan guru-guru yang mula hadir ke sekolah.

Beliau juga menegaskan kepada Ketua Menteri Melaka dan kerajaan negeri yang baharu untuk segera menyelesaikan isu banjir kilat yang semakin teruk di kawasannya.

Bagi empat lagi calon dan penyandang DAP yang tewas di kawasan Duyong, Gadek, Pengkalan Batu dan Bemban, mereka juga tidak lupa untuk keluar ke kawasan-kawasan tersebut bertemu dengan para pengundi dan mengucapkan terima kasih. – Roketkini.com