Isu Semasa

MOTAC disaran beri latihan, subsidi kepada pengusaha hotel – Hannah

Oleh Aziera NH

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) dan Kementerian Sumber Manusia disaran membantu kesemua hotel secara agresif agar hotel-hotel tersebut tidak berdepan dengan masalah kekurangan kakitangan dan kurang persediaan selepas industri perhotelan dibuka semula sepenuhnya kelak.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, hampir semua hotel mengalami masalah kehilangan pekerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.

“Semua hotel mengalami kehilangan pekerja semasa PKP kerana pekerja tahu kalau ada PKP lagi, industri ini (perhotelan) akan ditutup dahulu.

“Sekarang bila dah dibuka semula, banyak hotel tak cukup tenaga kerja untuk bersihkan bilik,” katanya pada sesi perbahasan di Parlimen semalam.

Oleh itu, Hannah mencadangkan agar MOTAC dan Kementerian Sumber Manusia berbincang untuk memberi bantuan kepada industri ini.

“Jadi saya nak cadangkan untuk MOTAC dan Kementerian Sumber Manusia berbincang untuk pastikan berikan latihan ataupun subsidi,” katanya.

Dalam pada itu, Hannah juga turut mencadangkan agar MOTAC menyelaraskan dengan pelbagai agensi bukan sahaja untuk bantu pengusaha hotel bukan sahaja dari segi produk promosi.

“Tetapi, bincang dengan Kementerian Kewangan (MOF), Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk pengecualian cukai hiburan dan pengecualian cukai taksiran,” katanya. – Roketkini.com