Kenyataan Akhbar

Jangan gunakan sekolah vernakular untuk kepentingan politik

Kenyataan Media Muhammad Shakir Ameer,Naib Ketua Kebangsaan Pemuda DAP Malaysia:

1. Ketua Armada, Wan Ahmad Fahysal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan harus menyatakan pendirian muktamad berkenaan komen penutupan sekolah vernakular sempena bulan kemerdekaan pada Ogos 2020 lalu.

2. Kenyataan Wan Fahysal membalas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dengan memutar belit komen tersebut dgn pendirian di parlimen  bahawa beliau hanya memberikan kenyataan tersebut sebagai Ketua Armada serta pendirian berlainan sebagai seorang Timbalan Menteri adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

3. Wan Fahysal harus ingat bahawa beliau adalah orang yang sama tanpa mengira jawatan. Tidak ada pendirian berbeza sebagai pemimpin parti politik atau timbalan menteri. 

4. Memberikan gambaran negatif terhadap sekolah vernakular bermula dengan pendirian untuk menutup dan seterusnya memberi tanggapan bahawa sekolah vernakular tidak memperkasakan bahasa Malaysia adalah sesuatu kenyataan ‘flip-flop’ yang tidak bertanggungjawab dan beliau harus meminta maaf kepada semua keluarga tanpa mengira kaum yang menghantar anak masing-masing ke sekolah vernakular. 

5. Pihak Armada juga harus mengambil kira bahawa bilangan pelajar Melayu di sekolah Cina telah meningkat kepada 15.33% pada tahun 2020 berbanding dengan 9.5% bagi tahun 2010 seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan daripada Parti Bersatu sendiri iaitu Dr. Radzi Jidin [https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/more-malaysian-malays-study-in-chinese-primary-schools-today-versus-a-decade-ago].

6. Peningkatan pelajar Melayu yang memasuki sekolah vernakular harus diambil iktibar oleh pihak yang suka mempertikaikan kewujudan sekolah vernakular yang kononnya menghalang perpaduan dan integrasi di negara kita. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini mungkin perlu mengkaji kenapa bilangan pelajar Melayu di sekolah jenis kebangsaan Cina meningkat.

7. Mereka juga harus sedar bahawa sekolah vernakular mempaksikan Sistem Pendidikan Kebangsaan. Mungkin mereka boleh bertanya kepada Ketua Pemuda UMNO Asyraf Wajdi akan sebab kenapa beliau menghantar anaknya ke sekolah cina. 


8. Oleh yang demikian, pihak Armada bersama pihak lain tidak harus menggunakan kewujudan sekolah vernakular sebagai bahan momokan untuk kepentingan politik kerana sikap inilah yang akan memporak-porandakan perpaduan di negara kita.