oleh Ghafar NS
Selain menutup kepala ketika masuk ke masjid, gurdwara dan sesetengah gereja juga memerlukan lelaki dan wanita untuk menutup kepala sebagai tanda hormat dan ia juga lambang adab sopan.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam satu kenyataan media dibuat pada 5 Disember 2021 berkaitan kritikan dan sokongan ramai mengenainya berselendang ke masjid, menjelaskan bahawa selama 13 tahun beliau menjadi wakil rakyat di kawasan berbilang kaum dan agama seperti di Segambut dan Subang Jaya, beliau sentiasa menunjukkan rasa hormatnya dengan berselendang apabila turun ke kawasan.
Menurutnya, perbuatan menutup kepala apabila bertemu mereka-mereka yang dihormati terutama di rumah-rumah ibadah adalah sebagai tanda hormat, dan ini juga diamalkan apabila menziarahi kematian.
“Hormati mereka yang berada di sekeliling dan terapkan nilai kebaikan ini kepada jiran-jiran kerana sikap penting diri hanya akan menjadi punca kepada bencana lebih besar.
“Menutup kepala ketika ke masjid tidak akan mengubah bangsa dan agama saya, malah menguatkan lagi keyakinan pada perintah agama untuk selalu mengasihi sesama manusia sebagaimana saya mengasihi diri sendiri,” tambah Hannah.
Hannah turut menegaskan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan dan berjuang untuk Malaysia yang sederhana, saling menghormati sesama kita. – Roketkini.com