Berita

Tarik semula RUU, berunding dengan semua pihak

Oleh Roketkini

Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin akan menghancurkan kredibiliti dan masa hadapan politik beliau sekiranya beliau memaksa pindaan rang undang-undang (RUU) Pindaan Akta Pecegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit pada esok.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, RUU itu bersifat drakonian dan tidak berasaskan kepada sains dengan peruntukan denda dan kompaun berjuta ringgit yang melampau dan hukuman penjara sehingga tujuh tahun yang keterlaluan.

“Pemaksaan kelulusan RUU Pindaan Akta Pecegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang drakonian dan tidak saintifik pada hari Khamis ini akan menjadi satu hari yang memalukan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, perkara itu hanya akan membuktikan dua perkara:

  1. Berlawanan dengan apa yang dikatakan beliau sebelum ini bahawa rakyat Malaysia perlu belajar untuk hidup bersama dengan wabak Covid-19 memandangkan kita tidak dapat menghapuskan penyakit ini;
  2. Tidak ada apa-apa pun yang telah berubah walaupun Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani di antara Perdana Menteri, Datuk Sero Ismail Sabri Yaakob dengan empat orang pemimpin Pakatan Harapan, yang sepatutnya membawa masuk satu bentuk kerajaan yang lebih banyak melibatkan rundingan dengan semua pihak.

Menurut beliau, Khairy perlu menarik semula rang undang-undang pindaan itu dan berunding dengan semua pihak, bukan sahaja setakat ahli-ahli Parlimen dan parti-parti politik, tetapi juga semua badan perubatan dan badan-badan bukan kerajaan mengenai RUU tersebut.

“Jika beliau tidak mahu berhadapan dengan kemungkinan RUU ini ditolak dengan belah bahagi (kejadian belah bahagi pertama selepas MOU dimeterai) dan kemudiannya perlu dibentangkan semula dalam persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution memberitahu, PH tidak menyokong pindaan akta tersebut.

Menurut beliau, PH meneliti secara terperinci RUU Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 yang telah dibentang tersebut.

“Walaupun satu pindaan tambahan telah dibawa hari ini (semalam) yang mengurangkan denda dan kompaun bagi RUU ini, Ahli-Ahli Parlimen PH berpandangan bahawa RUU ini tetap membuka ruang yang luas untuk berlakunya salah guna kuasa, rasuah, serta amalan ‘Antara Dua Darjat’.

Beliau berkata, PH mengambil sikap tidak menyokong RUU ini di dalam bentuk yang telah dibentang memandangkan pendirian Ketua Pembangkang yang telah disampaikan kepada Perdana Menteri, dan memandangkan kerajaan tetap dengan pendirian untuk meneruskan perbahasa RUU itu.

“Saya menggesa Kerajaan khususnya Menteri Kesihatan untuk menarik balik RUU ini dan mengadakan perbincangan mendalam dengan Pakatan Harapan serta Pembangkang amnya, agar satu bentuk pindaan Akta 342 yang lebih baik dapat diperolehi dan dipersetujui bersama,” katanya. – Roketkini.com