Rencana

DAP pantas bantu mangsa banjir

Oleh Aziera NH

Negara sekali lagi diuji pada penghujung tahun 2021 apabila banyak kawasan yang mengalami banjir yang teruk sehingga meragut beberapa nyawa.

Dalam memastikan rakyat yang terjejas akibat banjir ini dapat meneruskan hari-hari mereka, meringankan beban setelah kemusnahan harta benda dan memastikan mereka tidak dijangkiti Covid-19, wakil-wakil rakyat DAP pantas menghulur bantuan sewajarnya.

Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming antaranya telah giat membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam menggunakan kayak memandangkan beliau merupakan seorang pendayung kayak yang berpengalaman.

“Oleh kerana saya seorang pendayung kayak yang berpengalaman (kira-kira 20 perjalanan) di sepanjang Sungai Klang, Gombak dan Hulu Langat sejak enam tahun lalu, saya dapat bawa kayak secara solo ke Taman Sri Muda,” katanya dalam satu hantaran Facebook hari ini.

Katanya, dengan 15 perjalanan selama lebih empat jam, beliau berjaya menyelamatkan 40 mangsa terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak. Manakala 20 lagi diselamatkan oleh rakan pasukan menyelamat daripada DAP Bangi.

Untuk rekod, misi bantuan menyelamat oleh pemimpin DAP itu adalah yang kedua selepas misi pertama di kawasan Cheras Batu 11 yang turut ditenggelami air setinggi rumah setingkat.

Di Klang pula, Ahli Parlimen Klang turut tidak ketinggalan dalam usaha menyelamatkan mangsa-mangsa banjir yang masih terkandas di kawasan sekitar.

Katanya, selain membantu menyelamatkan mangsa, Pejabat Ahli Parlimen Klang juga turut mengagihkan bantuan makanan dan minuman serta menyediakan kelengkapan asas kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Dalam pada itu, ADUN Ketari, Young Syefura  Othman juga mengambil inisiatif menggerakkan tabung bantuan untuk mangsa banjir di kawasannya.

“Kepada orang ramai di luar sana, mohon #BantuKetari . Ketari dilanda banjir besar dan penduduk Ketari kehilangan hampir seluruh harta benda mereka.

“Bantuan boleh disalurkan ke akaun Pusat Khidmat DUN Ketari (Maybank) 5061 3741 5990,” katanya dalam dalam satu hantaran Facebook semalam.

Berbeza di Segambut, hujan lebat yang berterusan bukan sahaja menyebabkan berlakunya banjir, tetapi turut menjadi punca berlakunya tanah runtuh di Kampung Palimbayan dan mengakibatkan 12 buah rumah terkesan.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, beliau akan meminta bantuan kewangan daripada Menteri Wilayan untuk membantu penempatan perumahan bagi 12 keluarga yang terkesan ini.

Dalam pada itu, Hannnah bersama Pasukan Segambut telah menggerakkan bantuan 1000 pek makanan untuk penduduk yang terkesan dengan banjir di kawasan Segambut.

Bukan itu sahaja, Unit Tindak DAP Johor juga tidak ketinggalan dalam menghantar sukarelawan dalam misi bantuan banjir di Selangor. – Roketkini.com