Kenyataan Akhbar

Isu SPRM: Ismail Sabri jangan ‘senyap’ – Kit Siang

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri untuk menamatkan “konspirasi berdiam diri” selama dua bulan berhubung dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki yang dikatakn memiliki banyak saham syarikat.

Ini susulan peletakan jawatan ahli ekonomi Edmund Terence Gomez sebagai ahli panel SPRM selepas mendakwa panel itu gagal membincangkan laporan-laporan yang membabitkan pegawai-pegawai tinggi SPRM.

Dalam pada itu, Kit Siang juga turut menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai rasuah dan salah guna atau pembaziran dana awam untuk melakukan siasatan berhubung dakwaan terhadap Azam.

Menurut Kit Siang, jawatankuasa itu juga perlu meneliti laporan Integriti Kewangan Global (GFI) yang mendedahkan Malaysia mengalami kerugian besar berjumlah RM1.8 trilion antara 2005 dan 2014, serta kedudukan dan skor yang rendah dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI).

“Ini adalah perkara yang mendesak dan penting terutama ketika Malaysia menunggu laporan CPI bulan depan di mana negara dijangka mencapai kedudukan dan skor yang rendah, mencerminkan usaha pencegahan rasuah yang semakin teruk pada tahun lalu.  

“Sudah tiba untuk rakyat Malaysia menuntut ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi berhubung perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Perdana Menteri tidak boleh berasaskan Malaysia yang dianggap semakin korup di peringkat nasional dan antarabangsa.

Tambah Kit Siang, dalam surat perletakan jawatan Gomez yang dikongsi bersama media semalam, beliau berkata timbul persoalan berhubung “hubungan antara perniagaan dan pihak penguatkuasa” serta situasi “konflik kepentingan” membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Gomez turut berkata bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekaligus mencadangkan “ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera”.  – Roketkini.com