Oleh Fakhrurrazi Rashid
Sekitar tahun 2003, saya masih ingat pengalaman pertama kali melihat situasi banjir di Kuala Lumpur. Pada satu petang, selepas tamat waktu persekolahan, keadaan di sekitar Jalan Bukit Nanas agak berbeza. Kali ini, laluan trafik tidak bergerak dan hujan turun dengan lebat tanpa henti selama beberapa jam.
Saya dan beberapa rakan yang ada terdengar cakap-cakap pak guard sekolah dengan beberapa ibu bapa pelajar tentang banjir kilat di sekitar LRT Masjid Jamek, kedai mamak Maju, dan kawasan Bank Muamalat, sehingga meneggelamkan beberapa buah kereta di sana.
Berdekatan dengan Sekolah Rendah St. John, terdapat Bangunan Ming yang mempunyai ruang pakir terbuka dan membolehkan orang ramai melihat situasi banjir di sekitar Masjid Jamek. Jadi, saya dan beberapa kawan-kawan lain pergi ke sana melihat keadaan banjir yang Pak Guard gossipkan.
Sampai sahaja di kawasan parkir itu, mata kami memandang ke arah jalan yang banjir. Dan, kami melihat seorang rakan sekolah duduk di atas bumbung sebuah kereta yang telah diteggelami air banjir bersama beberapa orang dewasa. “Eh, kau buat apa dekat sana, berenang ya?” Jerit salah seoarang kawan saya bertanya rakan yang terkandas.
“Aku nak balik naik train, tapi banjir!” Beritahu dia kepada kami di atas parkir. “Tapi, best macam dekat sungai”. Tambah dia lagi. Dan, kami pun tertawa dan seronok melihat dia di tengah-tengah banjir kerana boleh bermain air. Padahal dia sebenarnya dalam bahaya.
Itulah pemikiran anak sekolah rendah, “gembira tidak bertempat”. Esok paginya, terpampang di dada akhbar melaporkan bencana banjir kilat yang didakwa paling buruk di Kuala Lumpur selepas beberapa tahun.
Hampir dua dekad salahkan takdir
Ironinya, hampir dua dekad, Kuala Lumpur masih lagi dilanda banjir. Setiap tahun, berjuta-juta peruntukan diberikan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk pelan mitigasi banjir, tetapi hasilnya masih sama. Di mana silap kita? Di duitkah atau pentabiran itu sendiri.
“Oh, banjir Kuala Lumpur ini ‘Act of God’ atau takdir tuhan”, jawaban popular pemimpin negara untuk menyalahkan takdir apabila banjir berlaku. Faktanya, hujan itu rahmat tuhan, tetapi banjir itu adalah bencana hasil daripada tangan-tangan manusia yang rakus mengejar pembangunan sehingga mengabaikan alam sekitar.
Banjir Kuala Lumpur bukan sahaja berlaku di Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Kampung Baru semata-mata. Kawasan Kuala Lumpur itu luas, merangkumi Lembah Pantai, Segambut, Kepong, Sentul, Jinjang, dan Wangsa Maju. Kawasan-kawasan ini kerap menghadapi banjir kilat sejak kebelakangan ini.
Ketika tragedi banjir 18 Disember, terowong SMART didakwa telah menyelamatkan Kuala Lumpur daripada tenggalam. Sebanyak 5 juta meter padu air telah dilencongkan selama 22 jam. Tetapi, sejauh mana terowong ini dapat mengatasi masalah banjir seluruh Kuala Lumpur? Jawabannya tidak.
Terowong SMART hanya menguruskan aliran air Sungai Klang dan Sungai Ampang. Ia tidak menguruskan dua batang sungai kritikal di Kuala Lumpur iaitu Sungai Gombak (melalui kawasan seperti Gombak dan Wangsa Maju) dan Sungai Batu (menghala ke arah Kepong, Batu Caves dan Selayang).
Kenyataan media Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh pada 28 Disember tentang isu banjir di Kuala Lumpur telah mendedahkan sisi buruk mengapa situasi banjir di Kuala Lumpur bertambah parah.
Menurut Hannah Yeoh, Laporan Ketua Audit Negara tahun 2019 telah menegur kecuaian Datuk Bandar Kuala Lumpur yang meluluskan enam kolam takungan banjir untuk dijadikan kawasan pembangunan.
Enam kolam takungan tersebut ialah kolam Batu, kolam Nanyang, kolam Delima, kolam Taman Wahyu, kolam Batu 4 1/2, dan kolam Taman Desa. Hampir semua kolam ini tidak termasuk dalam pelan terowong SMART yang dibanggakan kerajaan persekutuan itu.
Dan, keenam-enam kolam ini pula dijadikan skim perumahan mampu milik dan pembangunan bercampur. Apakah DBKL tidak sedar bahawa perbuataan cuai ini menyebabkan kawasan-kawasan tersebut bakal ditelenggami banjir seperti yang belaku di Sri Muda, Shah Alam?
Tambahan pula, sepanjang tempoh 2015-2020, Datuk Bandar Kuala Lumpur meluluskan 943 kebenaran perancangan yang tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.
Nak dijadikan cerita, pelan yang dimulakan pada tahun 2008 kononya untuk menjadikan bandaraya Kuala Lumpur bertaraf dunia pada tahun 2020 hanya berstatus ‘draf’ dan tidak pernah diwartakan kerajaan BN. Kemudian, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, barulah pelan tersebut diwartakan pada 30 Oktober 2018.
Kelewatan pewartaan pelan ini boleh menjadi punca sistem mitigasi banjir di Kuala Lumpur tidak berkesan. Bayangkan sahaja, jika Pelan Bandaraya Kuala Lumpur ini diwartakan lebih awal, kerajaan tidak punyai alasan untuk menjadikan kolam takungan banjir sebagai tempat pembangunan.
Pemimpin cuai bencana buat rakyat?
Apa malangnya nasib Kuala Lumpur. Hampir 10 tahun lamanya pelan pembangunan tidak diwartakan kerajaan BN? Akibatnya, warga Kuala Lumpur menampung rugi dan mencangak bencana apa lagi yang akan menimpa mereka selepas ini.
Apa yang kita sepatutnya tahu sekarang adalah cakap-cakap orang atasan yang menyatakan bencana banjir adalah ‘takdir tuhan’ adalah sandiwara semata-mata.
Sejujurnya, saya tidak tahu apa yang perlu dibuat selepas ini. Pelbagai cadangan telah diberi untuk melestarikan Kuala Lumpur. Tetapi apa yang dipandang DBKL dan Menteri Wilayah setakat ini hanyalah kepentingan pemaju, peratusan komisen, dan meminggirkan suara rakyat.
Mana tidaknya, Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah lantikan politik kerajaan pusat. Maka buat apa mereka perlu dengar suara rakyat berbanding berkhidmat untuk kepentingan Menteri Wilayah atau Perdana Menteri?
Bagi saya, bencana paling besar buat warga Kuala Lumpur bukanlah sekadar banjir, tetapi mempunyai pemimpin yang cuai mentadbir wilayah Ibu Negara Malaysia dan tidak pernah dipilih oleh rakyat.
Bukankah sekarang masa yang tepat bagi warga dan pembayar cukai Kuala Lumpur diberi hak memilih Datuk Bandar secara terbuka agar mereka lebih bertanggungjawab kepada rakyat, bukan Pak Menteri?