Uncategorized

Bantuan terus disalurkan kepada mangsa banjir

Oleh Aziera NH

Wakil-wakil rakyat DAP terus memberi bantuan dan menyantuni mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

Fokus bantuan pasca banjir merangkumi bantuan barang keperluan, pembersihan rumah dan bantuan kewangan untuk mereka memulakan kehidupan baru selepas bencana.

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bakri antaranya telah menghantar barang keperluan seperti tilam, periuk nasi dan cerek elektrik kepada mangsa-mangsa banjir di Pahang.

“Pagi esok, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bakri akan mula menghantar barangan keperluan seperti tilam, periuk nasi dan cerek air elektrik, bekalan air minuman, water jet dan pelbagai jenis barangan lain ke kawasan yang terjejas teruk akibat banjir di Pahang.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang menyumbang dan terima kasih juga kepada Unit Tindak Bakri atas segala usaha dan kerjasama yang diberikan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seremban merangkap ADUN Chennah, Anthony Loke Siew Foke pula mula menyalurkan Bantuan Khas Kerajaan Negeri Sembilan untuk setiap rumah yang terkesan daripada banjir dalam kawasan DUN Chennah.

“Untuk memudahkan penerima, semua bantuan diberi dalam bentuk tunai tanpa karenah birokrasi.

“Saya juga pergi ke kampung mereka dan menyampaikan bantuan tersebut di balai raya kampung yang terlibat supaya mereka tidak perlu pergi jauh untuk menerima bantuan,” katanya.

Menurut Anthony, beliau telah menyampaikan bantuan di beberapa kampung di dalam DUN Chennah dan berharap pendekatan seperti ini memudahkan mangsa-mangsa banjir.

Sementara itu, ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin juga bersama-sama dengan sukarelawan DUN Bandar Utama mengerjakan gotong-royong membersihkan beberapa kawasan rumah di DUN Bukit Melawati yang turut terjejas.

“Selain itu, kami juga telah menyumbangkan barang makanan kering, air mineral, beras dan makanan haiwan kepada pejabat YB Juwairiya (ADUN Bukit Melawati) untuk diedarkan pada mangsa-mangsa yang terjejas,” jelasnya. – Roketkini.com