Berita

Panggil mesyuarat jawatankuasa pilihan khas soal siasat KP SPRM

Oleh Roketkini

Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihan Khas bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri termasuk Pengerusi jawatankuasa tersebut, Abdul Latiff Abdul Rahman dicadang memanggil mesyuarat jawatankuasa itu pada minggu hadapan untuk menyoal siasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkaitan dengan tuduhan terhadapnya.

Dua ahli jawatankuasa tersebut iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dalam satu kenyataan bersama menyebut,
tuduhan yang dilemparkan terhadap Azam perlu diberikan perhatian oleh ahli-ahli jawatankuasa berkenaan.

“Kami memandang serius terhadap isu tersebut dan bersetuju dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkaitan dengan ‘defisit kepercayaan’ terhadap kerajaan dan SPRM yang menurun ke tahap yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“…(Ini) disebabkan oleh tuduhan yang dilemparkan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang secara tidak langsung turut mencemarkan nama baik SPRM dan nama Malaysia di persada antarabangsa,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Kit Siang sebelum ini dilaporkan menggesa jawatankuasa tersebut memanggil Azam untuk menjelaskan dakwaan pemilikian sahamnya.

Veteran DAP itu berkata, isu tersebut menyebabkan ‘defisit kepercayaan’ terhadap kerajaan dan SPRM tetapi pihak berkuasa masih tidak mengambil tindakan terhadap perkara itu.

Sementara itu, kenyataan bersama itu menambah, kedua-dua Poay Tiong dan Foong Hin berharap cadangan mereka agar mesyuarat jawatankuasa itu dipanggil dapat disambut baik oleh tujuh ahli jawatankuasa tersebut yang lain.

Seterusnya, jelas kenyataan itu, jawatankuasa itu dapat menyediakan laporan siasatan beserta dengan cadangan-cadangan penambahbaikan yang boleh dibentangkan pada hari pertama mesyuarat pertama sesi kelima Parlimen yang akan bersidang dari 28 Februari hingga 24 Mac 2022. – Roketkini.com