Uncategorized

Untuk tahun 2022 yang lebih baik

Oleh Liew Chin Tong

(Pengarah Pendidikan Politik DAP)

Sudah genap dua tahun pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia. Walaupun kita terus dihantui dengan kemunculan varian-varian baharu, kebanyakan pakar berpendapat detik-detik paling ngeri pandemik ini sudah berakhir. Saya harap andaian mereka benar.

Segala perubahan yang berlaku akibat pandemik ini memaksa kita untuk berfikir di luar kebiasaan dan mencabar tradisi demi membina semula.

Dunia kini menempuh sekurang-kurangnya lima cabaran besar: krisis kesihatan, jurang miskin-kaya, demokrasi yang semakin merudum, persaingan geopolitik, dan krisis perubahan iklim.

Krisis kesihatan

Pandemik Covid-19 telah mendedahkan kelemahan sistem kesihatan di seluruh dunia, malah hospital dan kemudahan kesihatan di negara-negara maju turut ‘lumpuh’ dalam menampung tekanan daripada penularan yang mendadak. Namun, pada masa yang sama, penghasilan vaksin yang pantas menunjukkan potensi besar dan kemajuan sains perubatan.

Pengajaran paling penting daripada pandemik ini ialah dunia moden hari ini menghubungkan kita semua, dan dunia hanya akan selamat jika golongan yang kuat melindungi mereka yang lemah.

Maksudnya, jika kita gagal mengagih vaksin dengan adil kepada negara membangun dan komuniti rentan seperti pelarian dan banduan, ia bererti kita akan terdedah kepada varian dan jangkitan baharu.

Jurang miskin-kaya

Jurang di antara golongan kaya dan miskin adalah ancaman serius terhadap kelangsungan masyarakat dan kepada negara yang demokratik. Ketidaksamaan yang kita lihat hari ini lahir daripada amalan ekonomi neoliberal yang berleluasa sejak setengah abad yang lalu.

Andaian bahawa syarikat-syarikat korporat hanya perlu mengejar keuntungan sahaja sudah tidak terpakai lagi. Saya cukup gembira melihat semakin ramai rakan di dunia korporat berbincang mengenai ESG – environmental, social and governance (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) dan stakeholder capitalism, iaitu sistem pasaran yang menekankan kepentingan pelbagai pemegang taruh, dan bukan pemegang saham sahaja.

Kita perlu mengakui bahawa syarikat-syarikat korporat adalah sebahagian daripada masyarakat walaupun memaksimumkan keuntungan tidak sepatutnya menjadi matlamat utama mereka. Keuntungan boleh diperolehi melalui usaha menyelesaikan masalah masyarakat dan memenuhi keperluan pengguna.

Syarikat-syarikat ini perlu ingat bahawa mereka bertanggungjawab kepada pemegang saham, pengguna, pekerja dan alam sekitar.

Selama ini, matlamat untuk mengaut keuntungan semata-mata telah menjejaskan sistem politik di seluruh dunia. Kesannya dapat lihat dengan kerja-kerja melobi mencari peluang oleh syarikat-syarikat besar di Amerika Syarikat. Bagi mereka, semuanya boleh dibeli, termasuk integriti ahli-ahli politik dan masa depan rakyat.

Sepanjang 50 tahun lepas, golongan pekerja rugi dari segi peluang kerja dan gaji, dan ini memburukkan lagi ketidaksamaan di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia.

Apabila ketidaksamaan meruncing, ia membuka jalan untuk kumpulan autokrat dan kuku besi menunggang sentimen golongan marhaen yang marah, seperti yang dilakukan oleh Donald Trump yang berjaya memenangi pemilihan Presiden Amerika Syarikat pada 2016 dengan mengapi-apikan emosi pengundi.

Demokrasi yang semakin merudum

Sistem demokrasi di serata dunia kian terancam.

Bagi menangani masalah demokrasi yang semakin merudum dan menuju ke arah kuku besi, isu ketidaksamaan perlu diatasi.

Perlu ada keseimbangan baharu di antara modal dan pekerja, dan di antara modal dan alam sekitar. ESG perlu difahami dalam konteks ini.

Persaingan geopolitik

Persaingan geopolitik menjadi bertambah sengit pada 2021. Apa sahaja yang akan kita lakukan dalam tahun-tahun mendatang ini, kita perlu mengambil kira faktor geopolitik. Era selesa – tempoh di antara runtuhnya Tembok Berlin pada 1989 dan zaman pra-Covid – telah berakhir.

Persaingan geopolitik akan mempengaruhi pelaburan asing ke Malaysia.

Selagi Amerika Syarikat dan China tidak berperang, Malaysia akan menerima manfaat daripada syarikat-syarikat dari kedua-dua negara, termasuk yang berpindah dari China atau sedang meluaskan operasi mereka dengan mencari tapak pembuatan ‘China+1’.

Menguruskan rantaian bekalan semasa pandemik sambil berhadapan dengan persaingan geopolitik adalah satu lagi cabaran lain.

Malaysia perlu serius dalam menangani perkembangan geopolitik serantau dan memainkan peranan aktif dalam membentuk hala tuju dan agenda bersama bagi rantau ini.

Krisis perubahan iklim

Banjir besar di Selangor dan Kuala Lumpur baru-baru ini adalah yang terburuk pernah melanda ibu negara kita sejak 1971. Ia merupakan satu peringatan bahawa isu perubahan iklim bukan satu jenaka atau cerita dongeng.

Ia merupakan satu realiti, dan seperti pandemik, perubahan iklim memberi kesan merentasi sempadan.

Malaysia perlu menjadi penggerak aktif dalam membentuk agenda iklim dunia dan kita perlu membina semula masyarakat Malaysia yang prihatin dengan cabaran-cabaran iklim.

Tahun 2022 bakal membawa cabaran yang lebih getir buat kita semua.

Namun saya percaya, apabila kita semakin jelas dengan cabaran global yang bakal diharungi dalam dekad 2020-an ini, pemahaman ini dapat membantu kita menumpukan usaha untuk menjadikan Malaysia dan dunia sebagai kediaman yang lebih baik dan sejahtera. – Roketkini.com