Uncategorized

Raikan perbezaan kita yang jadikan Malaysia negara yang unik

Oleh Lim Guan Eng
(Setiausaha Agung DAP)

DAP mengucapkan Selamat Tahun Baru 2022 kepada semua rakyat Malaysia.

Ekstremisme agama, perkauman dan rasuah sistemik adalah ancaman terbesar ke arah perpaduan nasional dan integrasi antara rakyat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang menghalang pembangunan ekonomi yang seimbang dan pertumbuhan ekonomi yang saksama.

Kebergantungan untuk mencetuskan sentimen terhadap kumpulan minoriti dengan sengaja bertujuan untuk memecah belahkan rakyat bagi mengalih perhatian daripada kegagalan tadbir urus yang teruk dan memerangi rasuah.

Kegagalan ini termasuklah daripada salah urus wabak Covid-19 yang mengakibatkan 2,746,555 kes dan 31,462 kematian, ‘total lockdown’ yang melumpuhkan sehingga menyebabkan kerugian ekonomi lebih RM500 bilion, kemelesetan ekonomi menjadikan Malaysia antara ekonomi ASEAN yang berprestasi paling teruk, ketidakcekapan dalam memetakan masa depan dan pelaburan digital negara serta bencana banjir besar baru-baru ini yang menyebabkan hampir 50 kematian dan lebih RM20 bilion kerosakan harta benda.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International terus menurun berbanding negara jiran kita dan tidak dibantu dengan kontroversi yang tidak dapat dijelaskan mengenai kekayaan luar biasa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Mempersoalkan motif sukarelawan bukan Islam dalam membantu dan memberi bantuan kepada mangsa banjir beragama Islam amat dikesali. Mujurlah, orang Melayu dan Islam telah bangkit mengutuk ekstremisme sebegini dan seterusnya memberi harapan kepada Malaysia yang berfikiran terbuka, sederhana dan bertolak ansur.

Keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini bahawa sekolah vernakular adalah berperlembagaan adalah penting dalam memastikan hak sah orang bukan Melayu adalah sebahagian daripada kontrak sosial yang memberi kemerdekaan dan membawa kepada pembentukan Malaysia.

Walaupun ini mungkin tidak menghentikan golongan ektremis dan rasis yang cuba menghancurkan Perlembagaan Persekutuan, rakyat biasa Malaysia tanpa mengira agama dan latar belakang kaum yang akhirnya akan berjaya mengalahkan mereka.

Rayat Malaysia yang tampil bersatu padu dalam bencana banjir baru-baru ini untuk membantu antara satu sama lain adalah sesuatu menggalakkan dan mengingatkan kita bahawa kita tergolong dalam satu keluarga besar Malaysia, yang tidak dimanipulasi secara sandiwara untuk tujuan politik.

Marilah kita meraikan perbezaan kita yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik. Perpaduan dalam kepelbagaian akan membawa kemajuan ekonomi yang lebih besar, membolehkan semua orang merealisasikan potensi mereka dan menjadikan impian anak muda kita menjadi kenyataan. – Roketkini.com