Kenyataan Akhbar

Isu SPRM: Ismail Sabri tidak boleh terus berdiam diri – Gobind

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menggesa Perdana Menteri untuk menangani kebimbangan yang dibangkitkan berhubung dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut Gobind, perkara tersebut telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa pada bulan lepas dan selepas itu, Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Edmund Terence Gomez juga telah meletakkan jawatan sebagai tanda protes kerana dikatakan tiada tindakan terhadap dakwaan itu.

Dalam pada itu, Gobind berkata, Seksyen 2 Akta SPRM 2009 menyatakan dengan jelas bahawa matlamat utama Akta tersebut adalah untuk menggalakkan integriti dan akauntabiliti pentadbiran sektor awam dan swasta dengan menubuhkan sebuah badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab iaitu Suruhanjaya.

Tambahnya lagi, Seksyen 5 selepas itu memperuntukkan bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya yang akan bertanggungjawab ke atas arahan, kawalan dan pengawasan semua perkara yang berkaitan dengan suruhanjaya itu.

“Adakah Perdana Menteri komited terhadap objektif tersebut dan jika ya, bagaimanakah sikap berdiam diri beliau terhadap dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya yang bertanggungjawab ke atas suruhanjaya itu menangani masalah ini?

“Perdana Menteri tidak boleh berdiam diri dalam perkara sepenting ini.

“SPRM berada di bawah pengawasan Jabatan Perdana Menteri dan beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas SPRM.


“Berdiam diri adalah tindakan yang menggambarkan kelemahan pihak beliau dalam menangani masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, Gobind menggesa Perdana Menteri untuk bertindak dan menunjukkan bahawa integriti dan akauntabiliti adalah juga aspek penting dalam SPRM. – Roketkini.com