Berita

Bencana banjir: Jadi sebahagian penyelesaian bukan sebahagian masalah

Oleh Roketkini

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook hari ini berkongsi sedikit pengalamannya mengenai pengurusan pasca banjir di kawasannya.

Untuk makluman, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang beliau wakili iaitu Chennah di Daerah Jelebu merupakan antara kawasan yang paling teruk terjejas di Negeri Sembilan.

“Sebagai wakil rakyat, apabila kawasan kita dilanda bencana, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu rakyat yang terkesan,” katanya dalam laman Facebook.

Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP seterusnya menggariskan beberapa langkah yang telah digerakkan pihaknya ketika banjir melanda kawasan tersebut iaitu:

  1. Sejurus selepas banjir berlaku, pastikan berapa keluarga yang terjejas

Beliau memberitahu, maklumat berhubung bilangan mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan berpindah ke rumah saudara-mara adalah penting untuk perancangan pembahagian sumber dan anggaran peruntukan yang diperlukan.

Menurutnya, beliau bernasib baik dan berterima kasih kerana di kawasan beliau, pasukannya yang terdiri daripada pembantu ahli-ahli majlis serta ketua dan ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di setiap kampung amat cepat bertindak untuk membantu mengenal pasti keadaan di lapangan.

  1. Segera sediakan makanan dan minuman kepada mangsa

Anthony berkata, langkah kedua adalah penyediaan makanan dan air minuman oleh pasukan pusat khidmat dan MPKK terutama air minuman, roti dan makanan masa yang boleh dimakan terus.

Tambahnya, beberapa MPKK di kawasan DUN Chennah telah mengambil inisiatif untuk menyediakan nasi bungkus kepada setiap keluarga mangsa selama hampir dua minggu supaya mangsa boleh menumpukan tenaga mereka untuk kerja-kerja pembersihan.

  1. Bersihkan longgokan sampah

Ujarnya, masalah yang paling besar selepas banjir adalah longgokan sampah dan lumpur di kawasan yang dibanjiri dengan setiap rumah akan membuang banyak barang dari rumah mereka.

Jelas beliau, pusat khidmatnya menyewa jentera dan lori untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut selain mendapat bantuan daripada beberapa pemaju yang menghantar kontraktor mereka untuk membantu.

“Hasilnya, saya dapat memobilisasi 11 buah jentera JCB backhoe dan 10 buah lori untuk mengangkut semua sampah dan membersihkan lumpur dalam masa 10 hari,” katanya.

  1. Selesaikan masalah longkang tersumbat dengan lumpur

Selain longgokan sampah, Anthony berkata, satu lagi masalah besar adalah longkang yang tersumbat dengan lumpur kerana jika sampah tidak diangkut dan longkang tersumbat, kerja-kerja pembersihan dalam rumah sukar dijalankan.

Beliau memberitahu, pusat khidmatnya telah mendapatkan khidmat sekumpulan pekerja yang mahir dalam kerja-kerja tersebut memandangkan kerja tersebut sangat sukar dan memerlukan tenaga fizikal yang kuat.

  1. Bermula kerja-kerja pembersihan dalam rumah

Setelah kedua-dua masalah besar tersebut ditangani jelas beliau, kerja-kerja pembersihan dalam rumah dapat berjalan dengan lebih lancar dengan ramai sukarelawan yang datang membantu.

“Kami juga menyediakan peralatan kepada mereka seperti (pancutan air ) water jet untuk memudahkan kerja pembersihan. Dalam keadaan pasca banjir, bekalan air sudah tentu tidak stabil. Jadi, mesin pam air adalah satu keperluan untuk mendapatkan sumber air untuk kerja pembersihan,” katanya.

  1. Memastikan bantuan kewangan dapat disampaikan secara mudah dan cepat

Beliau menjelaskan, di Negeri Sembilan, kerajaan negeri juga memberi bantuan tunai RM1,000 kepada setiap keluarga mangsa dengan semua peruntukan tersebut disalurkan kepada akaun pusat khidmat ADUN.

Untuk memudahkan mangsa, jelas beliau, pihaknya menyampaikan bantuan dalam bentuk tunai tanpa sebarang proses permohonan yang mana semua maklumat diperolehi melalui MPKK dan penerima hanya perlu memberikan salinan kad pengenalan dan laporan polis.

“Saya amat terhutang budi kepada semua pihak dan individu yang datang ke kawasan saya untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Tanpa bantuan semua, mustahil kami boleh mengatasi cabaran ini dalam tempoh terdekat.

“Saya tahu masih banyak yang perlu dilakukan namun semangat bantu-membantu di kalangan kita akan memperkuatkan azam kita untuk membina semula,” katanya.

Kesimpulannya, tambah Anthony, sebagai wakil rakyat, saya berharap saya menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukannya menjadi sebahagian daripada masalah. – Roketkini.com