Isu Semasa

Azam Baki perlu bersihkan nama melalui JK Pilihan Parlimen – Kit Siang

Oleh Aziera NH

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki perlu menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membersihkan namanya kerana ia lebih meyakinkan, kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM,  Abu Zahar Ujang yang membersihkan ketua agensi antirasuah daripada sebarang salah laku berhubung dakwaan pemilikan saham korporat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah memberitahu Lembaga Pengarah pada 24 November bahawa akaun dagangannya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada tahun 2015.

Abu Zahar berkata Lembaga Pengarah berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

“Tambahan pula, adakah adiknya bersedia untuk hadir memberikan keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen?

“Pastinya pengesahan mengenai ketiadaan sebarang konflik kepentingan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah lebih berkredibiliti dan bernilai daripada keputusan sebuah jawatankuasa SPRM sendiri,”  katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, tegas Kit Siang, SPRM perlu memohon maaf kepada profesion perubatan kerana telah menyiarkan iklan mengenai doktor yang korup pada suatu masa di mana SPRM sendiri berhadapan dengan persoalan yang serius tentang integritinya sendiri.

Begitu juga, katanya video kesedaran ‘anti rasuah’ yang disiarkan SPRM di Twitter menggambarkan contoh bagaimana rasuah boleh berlaku di klinik untuk mendapatkan sijil perubatan (MC).

“Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai betul dalam kritikannya terhadap video yang dikatakan sebagai “penghinaan terhadap kemurnian dan imej profesion perubatan.

“Mengapa SPRM tidak mengeluarkan video yang menggambarkan rasuah dalam kalangan Menteri atau Ahli Parlimen?” soalnya lagi.

Kit Siang berkata,  secara amnya beliau kecewa dengan sidang media “dedah segalanya” SPRM semalam, kerana ia telah meninggalkan banyak persoalan yang tidak terjawab.

“Saya telah berkata bahawa rakyat Malaysia dan dunia bimbang Malaysia akan kembali menjadi kleptokrasi dan saya telah meminta sidang media SPRM untuk memberitahu rakyat Malaysia apa yang SPRM lakukan untuk menghalang Malaysia mundur sebagai kleptokrasi dan apa jangkaan SPRM mengenai Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2021 untuk Malaysia, yang dijangkakan diterbitkan lewat bulan ini,” ujarnya. – Roketkini.com