Berita

Lebih baik pecat menteri, timbalan daripada gugurkan 144 atlet

Lebih baik pecat 10 orang menteri dan 10 timbalan menteri yang gagal daripada menggugurkan 144 atlet yang telah menyumbang kepada negara.

Mantan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim berpendapat, gaji menteri dan timbalan menteri tersebut lebih daripada memadai untuk menampung kembali atlet dalam program latihan sukan mereka.

“Bagi saya, lebih baik pecat 10 orang menteri dan 10 timbalan menteri bergaji besar dalam kabinet gergasi yang gagal untuk berfungsi.

“(Ini lebih baik)…daripada menggugurkan atlet yang telah sekian lama berkhidmat untuk negara tanpa sebarang ganjaran yang lumayan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Steven, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam:

Lebih baik pecat 10 orang Menteri dan 10 Timbalan Menteri yang gagal daripada menggugurkan 144 atlet yang telah menyumbang kepada negara.

Berita bahawa 144 orang atlet telah digugurkan daripada program latihan kebangsaan amat mengecewakan.

Pada 29 November 2021 semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Belanjawan 2022 untuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya sebenarnya telah membangkitkan isu kekurangan dana yang diperuntukkan untuk sukan kompetitif.

Sebagai contohnya, bagi penyediaan sukan antarabangsa, KBS hanya memperuntukkan sebanyak RM17.5 juta untuk tahun 2022, sedangkan kita bakal menghadapi tiga (3) acara
sukan antarabangsa iaitu Sukan SEA Hanoi 2021, Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Bandingkan peruntukan ini dengan Belanjawan 2018 di mana RM71.5 juta telah diperuntukkan untuk Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan Asia Jakarta 2018.

Saya telah menyatakan kekhuatiran bahawa, dengan pengurangan mendadak ini, atlet dan, persatuan sukan tidak mendapat peruntukan yang mencukupi untuk berdepan dengan
cabaran sukan antarabangsa pada tahun ini.

Menteri KBS telah memberikan jaminan kosong di Parlimen

Namun, ketika saya membangkitkan jurang peruntukan belanjawan yang besar tersebut, Menteri Belia dan Sukan sendiri telah menjawab di Dewan Rakyat bahawa:

Kami telah pun meneliti tentang perkara ini dan pihak MSN dan juga pihak KBS telah pun memberi komitmen bahawa segala perancangan daripada atlet-atlet kita dan juga persatuan-persatuan sukan yang akan mengambil bahagian TIDAK AKAN TERABAI dan memastikan mereka akan berada di tahap prestasi yang terbaik bagi mencapai sasaran
yang telah ditetapkan.
(Petikan daripada Hansard)

Jelas, Menteri telah menipu di Parlimen apabila hanya sebulan selepas jaminan beliau bahawa KBS tidak akan mengabaikan para atlet, seramai 144 orang atlet telah digugurkan daripada program latihan sukan kebangsaan.

Malah, ada sesetengah atlet negara telah mengadu bahawa KBS tidak berunding dengan mereka sebelum membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan mereka.

Ini telah memperlakukan atlet kebangsaan kita seakan-akan ‘alat pakai buang’ yang boleh disingkirkan bila-bila masa dengan begitu sahaja.

Atlet perlu diberi jaminan kerja (job security)

Sepatutnya, para atlet perlu diberi jaminan kerja dan pasca-kerjaya sukan agar mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada mencapai kecemerlangan dalam sukan
masing-masing.

Perkara ini telah dimulakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan melalui pengenalan Pusat Atlet yang bertujuan menjadi sebuah pusat sehenti (one stop centre) bagi isu-isu berkaitan hak, kebajikan, kerjaya dan pendidikan atlet serta pelaksanaan khidmat perlindungan kesihatan seumur hidup untuk atlet kebangsaan.

Ketika itu, KBS pernah dikritik kerana terlalu ‘memanjakan’ atlet, walaupun sebenarnya pentadbiran PH bertujuan untuk mengimbangkan antara hak atlet dengan kuasa besar yang ada pada Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan kebangsaan.

Ini bagi mewujudkan satu suasana yang lebih sihat di mana para atlet bukan sahaja dihormati dan dirunding dalam kerjaya sukan mereka malah akan dibimbing dengan lebih baik dari segi hak, kebajikan serta dan masa depan pasca-kerjaya sukan.

Bagi saya, lebih baik pecat 10 orang Menteri dan 10 Timbalan Menteri bergaji besar dalam kabinet gergasi yang gagal untuk berfungsi daripada menggugurkan atlet yang telah sekian lama berkhidmat untuk negara tanpa sebarang ganjaran yang lumayan.

Gaji Menteri dan Timbalan Menteri tersebut lebih daripada memadai untuk menampung kembali atlet kita dalam program latihan sukan mereka.- Roketkini.com