Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Isu Azam Baki: Pemuda Harapan lapor polis

Oleh Aziera NH

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Howard Lee Chuan How menggesa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki merehatkan diri bagi siasatan dijalankan ke atasnya.

Katanya, perkara ini perlu dilakukan demi menjamin kelangsungan fungsi dan mengelak tercalarnya kredibiliti SPRM.

Howard berkata, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tidak mempunyai sebarang kuasa siasatan mahupun kuasa beri kata putus sama ada sesuatu dakwaan terhadap ketua pesuruhjayanya berunsur jenayah atau tidak.

“Kuasanya ada kepada Suruhanjaya Sekuriti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Howard turut mempersoalkan sama ada konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dicanang oleh Perdana Menteri telah disalah tafsir oleh LPPR.

Jelasnya, Pemuda Harapan pada hari ini melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis supaya menyiasat dakwaan ini kerana ia melibatkan pegawai tertinggi SPRM yang sepatutnya mendukung integriti, bukannya terpalit dengan hal ehwal dakwaan pecah integriti dan maruah sebegini.

“Siasatan perlu dilakukan, dengan lebih baik lagi, jika ada satu suruhanjaya siasatan khas ditubuhkan di samping dibawa juga ke Dewan Rakyat kerana ia adalah suatu usul berkepentingan yang perlu disegerakan.

“Dakwaan ini menggusarkan ketenteraman awam terhadap badan integriti tersebut kerana ia membuka ruang terhadap pelbagai kemungkinan wujudnya konflik berkepentingan oleh individu terpenting di dalam SPRM yang tanggungjawab hakikinya dalam memerangi rasuah.

“Sekiranya najis rasuah atau sebarang jenayah sudah bersarang hingga ke dalam pejabat tertinggi SPRM, apa lagi kepercayaan yang rakyat ada terhadap integriti negara?” soalnya.

Mengulas lanjut, Howard menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal maruah dan integriti individu yang menjawat jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan anggota keluarganya, tetapi ini soal maruah seluruh anggota keluarga Malaysia dan integriti institusi utama negara.

Pihaknya turut turut membuat satu laporan polis terhadap Azam di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini. – Roketkini.com