Oleh Roketkini
Musibah banjir yang melanda beberapa negeri menyaksikan semangat solidariti yang ketara dalam kalangan rakyat dan mangsa yang terjejas.
Dengan semangat muhibah, muafakat dan kebersamaan, rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama telah bersatu untuk meringankan beban golongan yang terkesan.
Jentera DAP dalam masa sama, terus aktif menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.
Sejak berlakunya banjir besar akhir tahun lepas sehingga ketika ini, jentera DAP bertungkus-lumus memastikan kebajikan mangsa terjaga.
Di Pahang, wakil-wakil rakyat DAP turun padang menyantuni dan membantu pihak sekolah yang terkesan dengan musibah banjir.
Ahli Parlimen Kulai merangkap mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman telah melawat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Bentong baru-baru ini.
Sekolah tersebut merupakan sebuah sekolah Orang Asli yang berasrama.
“Kesan banjir masih ketara dan pagar sekolah belum diperbaiki lagi. Semoga kerja-kerja pemulihan dipermudahkan,” kata Nie Ching di laman Facebook.
Dalam pada itu, jentera DAP Johor juga terus cakna dengan soal kesihatan mangsa banjir dengan memberi sumbangan barangan perlindungan kesihatan sebagai usaha mengelakkan daripada penularan pandemik Covid-19.
Nie Ching dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali baru-baru ini telah menyerahkan sumbangan berupa kit ujian Covid-19, pelitup muka dan pensanitasi tangan dari DAP kepada mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Kampung Muhibbah.
Dalam pada itu, Ketua DAPSY Melaka, G. Saminathan telah ke Taman Merdeka dan Taman Angkasa Nuri di Melaka untuk misi bantuan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang dengan mengagihkan 1,000 pek makanan kepada mangsa banjir. – Roketkini.com