Berita

‘Tamatkan perkhidmatan Azam jika dia gagal hadap PSC’ – Kit Siang

Perdana Menteri, Ismail Sabri perlu bertindak segera terhadap dakwaan konflik kepentingan yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki. 

Kata Veteran DAP, Lim Kit Siang, Ismail perlu mendapatkan persetujuan Kabinet pada Rabu ini untuk menamatkan perkhidmatan Azam jika bos SPRM itu gagal menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menjawab tuduhan berkenaan. 

“Ismail Sabri mempunyai peluang terakhir untuk menyelamatkan reputasinya sebagai Perdana Menteri daripada terus mereput menjadi sebuah kakistokrasi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

Azam sebelum ini didakwa memiliki jutaan saham dalam syarikat awal yang tersenarai di Bursa Malaysia. 

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Ismail juga perlu meminta Jemaah Menteri untuk memutuskan sama ada untuk mengadakan sidang Parlimen Khas pada 21 Januari untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap program pencegahan rasuah kerajaan.

“Kabinet harus memutuskan untuk mengadakan sidang khas Parlimen selama dua hari – pada 20 Januari mengenai bencana banjir dan pada 21 Januari mengenai skandal membabitkan Azam, dua isu utama yang memulakan Tahun Baru 2022 dengan persoalan sama ada Malaysia telah merosot menjadi kakistokrasi,” ujarnya. 

Tambah Kit Siang, Malaysia mengalami dua masalah iaitu menjadi “kleptokrasi paling teruk” di dunia akibat skandal 1MDB dengan penjenayah yang disabitkan kesalahan rasuah dijemput untuk merasmikan persidangan antarabangsa. 

“Usahlah kita menanggung derita yang ketiga di mana ketua SPRM hilang semua keyakinan orang ramai terhadap integriti dan kejujuran.

“Persoalannya adalah sama ada Perdana Menteri dan Kabinet boleh menyelamatkan integriti dan kredibiliti mereka pada Rabu untuk menunjukkan bahawa mereka tidak akan membiarkan Malaysia terjerumus menjadi kakistokrasi,” katanya. – Roketkini.com