Rencana

Berpaut pada Harapan 2022

Oleh Shahrul Shahabudin

(Pegawai Penyelidik Ahli Parlimen Kota Melaka dan Naib Setiausaha DAP Kubu)

Tahun 2021 mungkin sekali lagi tidak memberikan kita semua banyak sinar seperti juga tahun 2020. Covid-19 ternyata lebih pantas bermutasi bertapak-tapak di hadapan berbanding kita semua. Begitu juga dengan keadaan politik di Malaysia. Sungguh pantas mutasi kepimpinan berlangsung di pihak sebelah sana sama ada Perikatan Nasional, Barisan Nasional atau Keluarga Malaysia. Kepantasan mereka seakannya memaku Pakatan Harapan daripada berupaya untuk memastikan sokongan rakyat berpihak kepada Pakatan Harapan.

2021 begitu mudah untuk dikatakan sebagai satu lagi tahun yang perlu segera dilupakan oleh Pakatan Harapan. Walaupun, Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri namun sekali lagi Pakatan Harapan tidak berjaya dalam usaha untuk pulang ke Putrajaya. Sesudah itu, pada Pilihan Raya Negeri Melaka pula Pakatan Harapan ternyata terhimpit dan tumbang dengan penuh memalukan. Daripada 11 kerusi DUN yang dimiliki sebelum terbubarnya DUN Melaka, kini suara Pakatan Harapan semakin suram di DUN Melaka apabila hanya tinggal 5 orang ADUN sahaja.

Sewaktu Malaysia baru mula ditimpa banjir besar di negeri Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka, sekali lagi bah yang besar melanda Pakatan Harapan apabila hanya memenangi 2 kerusi DUN sahaja pada Pilihan Raya negeri Sarawak yang lalu. Di saat ini, dari hari ke hari ternyata Pakatan Harapan semakin lemah dan tidak mampu untuk menambat sokongan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Persoalan yang paling utama dan mustahak daripada dua kekalahan berturut-turut pada penghujung tahun yang lalu sudah semestinya berkaitan dengan pengajaran yang dapat Pakatan Harapan pelajari. Persoalan yang kedua pula sama ada Pakatan Harapan akan dan mampu belajar daripada kesilapan yang telah mereka lakukan sejak lebih setahun yang lalu?

Justeru itu, apakah yang perlu dipelajari oleh Pakatan Harapan. Pertama, the game of numbers ternyata berada di luar kemampuan Pakatan Harapan. Hal ini demikian bukan kerana Pakatan Harapan tidak mungkin akan dapat menarik sokongan ahli-ahli Parlimen di pihak sebelah sana namun kerana persoalan moral dan etika politik yang perlu dipegang utuh oleh Pakatan Harapan. Selama ini mudah untuk kita menghentam UMNO-Barisan Nasional kerana sentiasa memperalatkan sistem demokrasi di Malaysia dengan membeli ahli-ahli Parlimen atau ADUN-ADUN untuk menyokong mereka, namun apabila Pakatan Harapan juga berpeluang untuk melakukan perkara yang sama tanpa segan silu usaha tersebut digerakkan tanpa mengenangkan semula nilai moral dan etika yang selama ini diperjuangkan. Akhirnya, senjata sudah makan tuan.

Pengajaran kedua yang perlu dihayati oleh Pakatan Harapan adalah kemampuan untuk meraih semula keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan. Musuh di pihak sebelah sana sentiasa bercakaran dan menghadiahkan pihak pembangkang dengan peluru-peluru untuk menyerang mereka disebabkan oleh kelemahan kerajaan dalam mengurus tadbir negara. Namun yang demikian, adakah Pakatan Harapan benar-benar berupaya untuk mengambil kesempatan yang terhidang bagi membuktikan kepada rakyat bahawa Pakatan Harapan sahaja yang mampu untuk membawa Malaysia keluar dengan selamat daripada keributan yang sedang berlangsung ini? Ternyata tidak.

Sudah hampir dua tahun sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan namun peri perihal yang sentiasa dilaungkan oleh Pakatan Harapan adalah bagi mengembalikan mandat berbanding berdiri dan bersedia untuk kembali menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Harapnya, laungan bagi mengembalikan mandat telah berakhir di Melaka. Jika tidak, mana mungkin Pakatan Harapan mampu pulang ke Putrajaya bagi menyelamatkan Malaysia.

Persoalan kedua mengenai kemampuan Pakatan Harapan untuk belajar daripada kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan sejak beberapa tahun yang lepas. Sehingga bulan Januari 2022 ini seakan-akan Pakatan Harapan tidak mempunyai kecelikan untuk belajar daripada kesilapan-kesilapan silam. Walaupun banyak perkara yang sudah dilakukan oleh ramai ahli-ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Pakatan Harapan bagi menguruskan kawasan Parlimen atau DUN masing-masing, namun selagi tidak adanya hala tuju yang jelas daripada kepimpinan utama Pakatan Harapan maka usaha dan tekad yang telah dijalankan selama ini dengan sumber yang terhad laksana mencari sungai yang tidak berhulu.

Sekali lagi, kemampuan Pakatan Harapan untuk belajar daripada kesilapan juga terletak kepada kemampuan parti-parti komponen Pakatan Harapan untuk kekal sepakat dalam membina konsensus. Jika tidak apabila keputusan sudah dipersetujui namun tetap akan terdengar hingar-bingar daripada wakil-wakil parti Pakatan Harapan sendiri. Akhirnya, logo Pakatan Harapan yang dijadikan kambing hitam.

Apa-apa pun sudah tibanya ke tahun 2022 maka Pakatan Harapan sudah cukup matang bagi memperbaiki semula kerosakan dan membina momentum untuk menghadapi baik Pilihan Raya Negeri mahupun Pilihan Raya Umum ke-15. Hanya dengan Harapan kita semua dapat membina cita-cita, menanam azam dan tekad bagi memastikan Malaysia kembali berada pada landasan yang tepat. Pada Harapanlah kita berpaut. – Roketkini.com