Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Isu Azam Baki: SPRM perlu bersikap berkecuali – Gobind

Oleh Aziera NH

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus bersifat berkecuali dan meyakinkan semua pihak bahawa tindakan akan diambil terhadap sesiapa jua sekiranya didapati mereka telah pun bertindak bertentangan dengan undang-undang.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, tindakan itu merangkumi sama ada mereka itu pegawai kanan atau pun tidak.

Gobind dalam hantaran di Facebooknya semalam turut mempersoalkan berkenaan sokongan Timbalan Ketua Pesuruhjaya agensi itu terhadap ketua mereka, Azam Baki  yang berdepan serangan susulan dakwaan pemilikan saham korporat.

Dalam kenyataan sokongan itu, tiga pegawai kanan berkenaan iaitu Ahmad Khusairi Yahaya, Norazlan Mohd Razali dan Junipah Wandi juga mendakwa Azam dijadikan mangsa bermotifkan politik.

Gobind berkata, beliau berpandangan dakwaan politik yang ditimbulkan itu sebagai menghairankan selepas mengambil kira perkembangan terbaharu membabitkan isu pemilikan saham itu.

“Saham-saham telahpun dikenalpastikan.

“Ahli Lembaga (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah) telahpun menjauhkan diri daripada sidang media Pengerusi mereka dan Suruhanjaya Sekuriti telahpun memohon butir-butir lanjut berkenaan kes ini.

“Ini berkenaan ketelusan dan kebertanggungjawaban, bukan politik,” katanya.

Gobind turut mengingatkan tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya berkenaan bahawa siasatan terhadap Azam masih berjalan dan mempersoalkan sama ada mereka akan meletak jawatan sekiranya keputusan siasatan mendedahkan keadaan sebaliknya.

Katanya, kenyataan dibuat tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya itu menidakkan kepentingan Azam bercuti ketika siasatan berjalan.

“SPRM tidak seharusnya diletakkan dalam keadaan di mana mereka perlu bantu siasatan semasa beliau (Azam) masih Ketua SPRM dengan semua kuasa-kuasa yang ada pada dirinya menurut Akta SPRM semasa siasatan itu berlangsung.

“Itu bukan keadaan yang betul,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ketiga-tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya itu bahawa rakyat mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan dan tindakan seperti mana kes dihadapi Azam.

“SPRM perlu meyakinkan kita semua bahawa ianya akan bertindak dengan tanpa berat sebelah dan bebas dalam perkara ini,” tegasnya. – Roketkini.com