Berita

Majlis Presiden gesa Abu Zahar, Borhan direhatkan, siasatan terhadap Azam perlu bebas

Oleh Roketkini

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang direhatkan sehingga selesai siasatan penuh terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden berkata, pihaknya telah meneliti kenyataan media enam Ahli LPPR yang telah menjauhkan diri mereka dari kenyataan Abu Zahar yang dilihat telah cuba membersihkan nama Azam sebelum ini.

Menurut Majlis Presiden, kenyataan enam Ahli LPPR itu amat mengejutkan dan membuka mata seluruh negara kepada kepincangan yang berlaku dalam proses siasatan terhadap dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Jelas SPRM atau badan penasihat SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya sendiri, dan siasatan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM amat diperlukan.

“Kenyataan enam Ahli LPPR ini menjadi bukti paling kukuh Pengerusi LPPR sudah tidak diyakini dan tidak dipercayai Ahli LPPR,” kata Majlis Presiden dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Majlis Presiden PH berkata, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tan Sri Borhan Dolah juga perlu direhatkan sehingga siasatan yang sama selesai.

Tambahnya, ini kerana Borhan enggan bertindak menyiasat Azam sungguhpun Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang dengan membenarkan akaun saham digunakan oleh adiknya secara proksi berkaitan dengan perdagangan berjuta-juta saham dan waran.

“Perlu ada pimpinan baru yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM agar kewibawaan, integriti dan kredibilit SPRM dapat dipulihkan semula,” katanya.

Majlis Presiden menegaskan, pihaknya juga memandang serius dan perlu menegur kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Ketua Pesuruhjaya serta membuat tuduhan motif ‘dendam politik’.

Tegas Majlis Presiden, tindakan janggal mereka secara terburu-terburu menyokong ‘bos’ mereka dengan kenyataan terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dalam sebuah parti politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.

“Kalau begitu suatu siasatan yang dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) tatkala sedang menyiasat perdagangan saham secara ‘proxy’ oleh Azam di mana ramai telah pun dihukum sebelum ini, boleh juga disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’,” katanya.

Sebagai penjawat awam, tambah Majlis Presiden, ketiga-tiga pegawai kanan itu patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Oleh itu, tambahnya, pegawai-pegawai kanan itu perlu membuat laporan polis dan biarkan pihak Polis Diraja Malaysia siasat secara terbuka kerana sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau.

“Kami mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti,” katanya. – Roketkini.com