Berita

Akta 342: Rakyat dan syarikat telah cukup menderita

Oleh Roketkini

DAP tidak akan menyokong pindaan kontroversi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mencadangkan kenaikan denda terhadap kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pendirian itu diambil parti tersebut walaupun rang undang-undang yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen Mac akan datang akan mengekalkan denda maksimum individu kepada RM1,000 bagi individu tetapi mengurangkan separuh denda kompaun maksimum bagi syarikat daripada RM1 juta kepada RM500,000.

Pada masa ini, semua denda kompaun yang dikeluarkan di bawah akta tersebut tertakluk kepada had RM1,000.

“PH sebelum ini telah memutuskan untuk tidak menyokong Akta 342 berikutan kenaikan denda yang kontroversi, dan mencadangkan syarikat yang terus ingkar dan melanggar SOP ditutup.

“Rakyat dan syarikat telah cukup menderita dan tidak sepatutnya dibebani ketika kemelesetan ekonomi sekarang dengan denda yang lebih berat tertakluk kepada budi bicara kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – Roketkini.com