Uncategorized

PH telah pun ambil langkah konkrit laksanakan Manifesto PRU-14, antaranya kurangkan kadar tol 18%

Oleh Roketkini

Pakatan Harapan (PH) semasa berada dalam kerajaan selama 22 bulan telah mengambil langkah konkrit untuk melaksanakan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang sememangnya akan dapat dilaksanakan sepenuhnya jika diberi peluang untuk memenuhi mandat lima tahun.

Setiausaha Agung DAP yang juga mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, satu contohnya adalah memansuhkan tol Lebuhraya Utara-Selatan dengan mengambil langkah progresif pertama untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus pada 1 Februari 2020.

“Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mengancam untuk memecat saya sebagai Menteri Kewangan kerana saya bertegas dalam usaha serta mendesak untuk melaksanakan peringkat pertama pengurangan tol.

“Di sebalik ancaman tersebut, kami terus mendesak dan akhirnya berjaya mendapat kelulusan Kabinet dengan persetujuan muktamad Mahathir untuk mengurangkan kadar tol sebanyak 18 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, itulah sebabnya penting untuk menyelesaikan tugas dengan memasukkan dalam manifesto akan datang untuk memansuhkan kadar tol seperti yang dijanjikan.

Lebih penting lagi tambahnya, memenuhi janji Malaysia untuk menghormati antara satu sama lain, menerima semua orang sebagai rakyat Malaysia dan memberi ganjaran kepada mereka yang bekerja keras ke arah kemakmuran bersama untuk semua.

“PH bukan sahaja harus menegakkan dan mempertahankan hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi juga melakukan reformasi untuk membetulkan kegagalan teruk Kerajaan Persekutuan sekarang.

“(Kegagalan itu) dalam menangani empat krisis negara iaitu wabak Covid-19, kemelesetan ekonomi, bencana banjir dan melawan endemik rasuah dalam kerajaan serta salah guna kuasa dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. – Roketkini.com