Kenyataan Akhbar

Jangan perjudikan nasib rakyat- Sheikh Omar

Oleh Sheikh Umar Ali
(Naib Pengerusi DAP Johor dan Ahli Dewan Undangan Paloh)

1. Setelah meneliti laporan berita bertajuk ‘Khaled: Melaksanakan PRN Johor adalah satu tanggungjawab’ yang disiarkan oleh portal berita malaysiakini 16 Jan 22, saya merasa cukup kecewa dengan kenyataan seorang tokoh politik Johor yang amat saya hormati.

2. Seperti saya sebutkan, kekecewaan ini datang kerana perasaan hormat saya yang tinggi ke atas Dato Seri Khaled Nordin kerana jasa dan sumbangan yang pernah beliau berikan kepada negara dan juga negeri Johor.

3. Namun, rasa hormat saya ini seakan runtuh apabila Dato’ dengan jelas mahu memperjudikan nasib rakyat ketika suasana ekonomi dan keselamatan yang tidak menentu.

4. Kenyataan Dato’ sangat ganjil kerana pada Ogos 2021, beberapa hari setelah Perdana Menteri baharu mengangkat sumpah jawatan, Dato’ telah mengungkapkan sokongan dan komitmen yang tinggi apabila Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah bertemu dan bersetuju untuk bekerjasama rentas parti bagi meredakan ketegangan politik.

5. Kenyataan Dato’ seperti dilaporkan oleh portal berita awani, telah menyatakan bahawa kerjasama antara PH dan kerajaan merupakan suatu permulaan era baharu yang sangat positif.

6. Ini bukan kata-kata saya atau pemimpin PH, tetapi kenyataan Dato’ sendiri. Kenyataan ini jelas menggambarkan semangat demokrasi yang tulen, yang merentas isu-isu kepartian dan individu, malah ia menunjukkan satu tahap kematangan politik yang tinggi dari seorang tokoh seperti Dato’.

7. Namun, bagaimana kenyataan tersebut pada hari ini telah bertukar 360 darjah hingga Dato’ seolah-olah sudah tidak sabar-sabar lagi mahu mengadakan pilihanraya negeri Johor. Adakah kerana PH telah mungkir janji dengan menarik sokongan kepada PM? Tidak. Tetapi, dimana silapnya hingga pendirian Dato’ berubah?

8. Saya tertanya-tanya, bagaimana Dato’ boleh melihat dengan mengadakan PRN Johor ketika ini, sebagai satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan? Bagi saya ini pelik.

9. Saya ingin bertanya kepada Dato’, dimana simpati Dato’ kepada rakyat yang sedang bergelut (struggle) selepas bahana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang, kemudian disambung dengan bencana banjir?

10. Saya sama sekali tidak memahami perspektif Dato’. Apakah Dato’ tidak memikirkan bagaimana kempen hendak dijalankan dalam suasana virus Omicron sedang mula merebak?

11. Apakah Dato’ merasakan rakyat telah cukup duit untuk berbelanja dan keluar beramai-ramai mendengar kempen dan mengundi?

12. Apakah Dato tidak membaca laporan berita bahawa sedikit masa lagi harga-harga barang keperluan harian rakyat akan meningkat hingga lebih 10%? Adakah PRN dapat menyelesaikan masalah ini?

13. Saya menyeru dan memohon dengan rendah diri kepada Dato’ dan juga para pemimpin UMNO yang masih waras, agar menolak cadangan ini ketika ini. Lupakan niat Dato’ ini.

14. Mari kita sama-sama berpegang pada pendirian sebelum ini agar gencatan politik terus dibuat bagi membolehkan kerajaan dan rakyat dapat bekerjasama dan menumpukan sepenuh usaha untuk memulihkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

15. Biarlah kerajaan bekerja hingga tamat penggal pemerintahannya. Tidak ada siapa yang akan rugi jika kita sama-sama bersabar. – Roketkini.com