Berita

Kit Siang beri kerjasama siasatan isu pelanggaran SOP

Oleh Roketkini

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang hari ini telah hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 baru-baru ini.

Peguamnya, Syahredzan Johan berkata, Kit Siang telah hadir memberi kerjasama dan memberi keterangannya.

“Tiada kompaun dikenakan atau dikeluarkan… Keterangan telah diambil,” kata Syahredzan ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, pihak polis sedang menyiasat dakwaan pelanggaran SOP pada majlis pelancaran buku yang dihadiri Kit Siang dan pengasas bersama MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini.

Ini susulan gambar yang kemudiannya menjadi tular memaparkan Kit Siang, Syed Saddiq dan pengarang, Kee Thuan Chye di atas pentas tanpa memakai pelitup muka.

Pada sidang media selepas memberi keterangan, Kit Siang berkata, beliau ketika itu telah membuka pelitup muka setelah diminta pihak media untuk berbuat demikian bagi tujuan mengambil gambar.

Menurut beliau, sejurus selepas gambar diambil beliau terus memakai semula pelitup muka.

Kit Siang berkata, keseluruhan majlis berjalan mengikut ketetapan SOP.

Dalam pada itu, Syahredzan menambah, pihak polis bagaimanapun tidak menyatakan siasatan dijalankan di bawah peruntukan mana tetapi beliau berpendapat, ia dibawah Akta 342.

“Saya rasa siasatan ini di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya kerana ia secara spesifik berkenaan pematuhan SOP,” katanya. – Roketkini.com