Uncategorized

Usaha perkasa kebajikan pasukan barisan hadapan penting – Hannah

Oleh Roketkini

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh hari ini telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM105,000 kepada kepada enam balai polis, sebuah pondok polis dan empat balai bomba.

Hannah berkata, beliau percaya usaha memperkasa serta dan menjaga kebajikan anggota polis dan bomba adalah sangat penting.

Menurutnya, ini kerana pasukan barisan hadapan tersebut sanggup berkorban dan melindungi rakyat daripada sebarang ancaman seperti yang disaksikan semasa banjir teruk pada 18 Disember lalu.

“Dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada tahun 2018, saya telah berjanji untuk menjaga kebajikan anggota polis bagi menambah baik kemudahan asas di balai polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM500,000 yang diberikan kepada Pejabat Ahli Parlimen Segambut bagi tahun 2021, Hannah telah memperuntukkan RM10,000 kepada setiap satu daripada enam balai polis manakala RM5,000 disalurkan kepada sebuah pondok polis.

Hannah juga telah memperuntukkan RM10,000 kepada setiap satu daripada empat balai bomba.

Walaupun peruntukan itu bukan besar jumlahnya bagi setiap balai tambah Hannah, tetapi ia dapat membantu mereka untuk membeli sebarang peralatan bagi melengkapkan balai atau memperbaiki sebarang kerosakan di balai. – Roketkini.com