Berita, Rencana

Isu Azam Baki: Kenyataan PM tunjuk kegagalan kerajaan tangani masalah institusi

Oleh Gobind Singh Deo

(Ahli Parlimen Puchong)

Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri Yaakob telah meminta orang ramai menerima keputusan yang dibuat oleh SC. Beliau berkata mereka telah menyiasat Azam Baki dan selepas siasatan, keputusan telah dibuat dan kita mesti menerima keputusan yang dibuat. 

Kenyataan Perdana Menteri ini menunjukkan kegagalan menyeluruh kepimpinan di pihaknya dan kegagalan menyeluruh di pihak kerajaan untuk menangani masalah institusi yang memberi impak besar kepada negara kita. 

Perdana Menteri mesti menerima hakikat bahawa orang ramai mempunyai hak untuk menyoal terutamanya dalam kes-kes yang mana terdapat soalan terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa. Dia tidak boleh meminta orang ramai untuk menerima keputusan semata-mata. 

Dalam kes ini, tiada alasan diberikan pada awalnya yang menjelaskan mengapa siasatan tidak dapat memutuskan bahawa seksyen 25(4) telah dilanggar. Apabila pihak tersebut ditekan untuk memberikan jawapan, SC telah mengeluarkan kenyataan kedua. Kenyataan itu merujuk kepada bukti bebas yang nampaknya bercanggah dengan apa yang dikatakan oleh Azam Baki di dalam sidang medianya pada 10 Januari baru-baru ini. 

Saya mahu Perdana Menteri menjelaskan perkara ini. Jika beliau tidak mampu, maka siapakah beliau untuk meminta orang ramai agar menerima sahaja keputusan yang sedemikian? 

Perdana Menteri juga harus melihat Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan menghormati hakikat bahawa Peguam Negara dan bukannya beliau atau SC yang harus memutuskan sama ada sebarang tindakan perlu diambil dalam kes ini. Peguam Negara yang seharusnya berbuat demikian selepas semua pihak berkuasa yang berkenaan sama ada polis, SC atau sesiapa sahaja yang berkaitan, menyelesaikan siasatan mereka terhadap perkara itu dan memberikan hasil siasatan dan laporan mereka kepadanya. Ini adalah proses yang mesti dihormati. 

Malangnya Perdana Menteri mengambil pendekatan sedemikian dalam menangani isu ini. Beliau sepatutnya melakukan sesuatu, tetapi tidak mengambil peluang ini untuk menunjukkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan pembaharuan institusi. — Roketkini.com