Rencana

Menyatukan perbezaan orang lama dan orang muda

Oleh Nor Miswary Ramli

Begitu ramai yang mahukan perubahan dan terpanggil untuk menggerakkannya. Saya jamin, tidak ada sesiapa di antara kita yang setuju dengan apa yang sedang berlaku dalam negara. Sistem bobrok yang kita lalui hari ini seperti tiada jalan penyelesaian.

Rombakan beberapa perkara kecil tidak akan memadai dan tidak akan menyelesaikan keseluruhan kegagalan sistem yang kita hadapi. Sehinggakan ada sesetengah daripada kita yang mula berputus asa dan menyimpulkan segala-galanya akan berterusan begini sampai bila-bila.

Hari Sabtu lepas para pendemostran dari orang lama, golongan orang muda termasuk lapan parti politik blok pembangkang dan 17 kumpulan masyarakat sivil yang turut hadir menunjuk perasaan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dikenakan tindakan dan keseluruhan SPRM dirombak bagi memperlihatkan kesungguhan jika Kerajaan berhasrat untuk memulihkan institusi paling penting dalam tugasnya iaitu mencegah rasuah.

Namun, apakah yang berlaku? Para pendemostran telah dihalang melakukan ‘tugas’ mereka kerana pihak Polis mengadakan lebih 50 sekatan jalan raya menuju ke tempat lokasi tunjuk perasan. Pada hari yang sama juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar telah berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan. Kesemua siri pembubaran sehingga berlakunya PRN demi PRN jelas hanya mahu memuaskan nafsu ahli politik tanpa peduli apa yang sedang dihadapi oleh rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19. Ramai yang tidak bersetuju.

Sentimen ini dikongsi oleh semua orang termasuk mereka yang menyokong Kerajaan (dan tentu sekali mereka yang menyokong Pembangkang). Mereka mempersoalkan tindakan dan justifikasi mengapakah PRN perlu diadakan ketika ini sedangkan tempoh untuk mengadakan PRU hanya lebih kurang satu tahun lebih sahaja. Mereka ternyata amat kecewa.

Namun apa yang boleh dilakukan sekarang? Apakah perubahan yang boleh diusahakan? Suka saya mencadangkan agar setiap seorang daripada kita memperhalusi setiap sudut, menghargai peranan orang lain dan menilai dengan adil akan kemampuan mereka yang dipertanggungjawabkan untuk turun ke lapangan. Mereka ini mempunyai sasaran untuk dijayakan walaupun hanya dengan kudrat yang terhad dan sumber kewangan yang terlalu sedikit. Jangan diperkecilkan usaha mereka yang mungkin tidak menyamai pengalaman pemimpin-pemimpin lama yang terdahulu.

Saya setuju, semangat yang hangat membara atau bekalan cita-cita yang tinggi sahaja tidak mencukupi dijadikan modal dan perisai dalam pertarungan. Taktikal yang tepat, strategi yang masuk akal, pemimpin lama yang terbuka dengan pandangan yang berlainan dan bersedia menerima perbezaan pendapat adalah ramuan yang diperlukan. Semua ini tidak boleh hanya sekadar retorik falsafah sahaja atau modal “lebih dahulu makan garam semata-mata”. Ia amat memerlukan perlaksanaan berbanding kata-kata yang lunak.

Orang muda tentu sekali hanya mempunyai sedikit sahaja pengalaman. Namun itu tidak bermakna idea dan pandangan mereka salah dan perlu diketepikan begitu sahaja. Orang muda perlukan teladan untuk dituruti dan dijadikan panduan. Kepimpinan bukan sekadar mencadangkan itu ini begitu begini dari tepi padang.

Kepimpinan adalah mereka yang mengetuai gerakan untuk melakukan perubahan. Menggembleng kedua-dua orang lama dan orang muda pasti menghasilkan keputusan yang jauh lebih baik. – Roketkini.com