Uncategorized

Pembangunan Penggaram fokus utama Peck Cheng

CALON KITA | Melihat kepada pengalamannya selama 30 tahun di dalam bidang politik, tiada apa yang perlu diragui terhadap penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Gan Peck Cheng.

Berdasarkan senarai kad laporan beliau, pelbagai usaha telah dijalankannya untuk kemajuan dan kesejahteraan masyarakat Penggaram.

Kesungguhan beliau berkhidmat untuk para penduduk di kawasannya sememangnya diketahui umum.

Bukan itu sahaja, Peck Cheng juga telah memecah tradisi dan mencipta sejarah Johor apabila beliau adalah wanita pertama yang dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor.

Sejak 2013 lagi, Peck Cheng memperjuangkan permasalahan utama di bandar Batu Pahat, iaitu masalah banjir.

“Hasilnya, permasalahan banjir telah mendapat perhatian Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air sehingga pembinaan sebuah benteng tanah di persisiran Sungai Batu Pahat sedang dalam pembinaan bermula dari Kampung Parit Lapis,” katanya.

Selain itu, beliau berjanji untuk meneruskan kesinambungan usaha-usaha yang telah beliau mulakan, termasuk projek rumah kos rendah dan sederhana yang akan memberi manfaat besar kepada masyarakat tempatan.

“Rancangan ini telah mendapat perhatian kerajaan ketika itu dan berada di peringkat perbincangan untuk pemilihan kawasan pembinaan yang bersesuaian di bandar Batu Pahat,” jelasnya lagi.

Semua usaha ini adalah demi mencapai matlamat mempertingkatkan pembangunan Batu Pahat demi kesejahteraan penduduknya.

Berpengalaman dan sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik, mudah bersua muka dan serta amat disenangi oleh pelbagai lapisan masyarakat menjadikan Gan Peck Cheng adalah calon terbaik Pakatan Harapan di DUN Penggaram. – Roketkini.com