Uncategorized

30% kerusi CEC DAP akan disandang pemimpin wanita

Oleh Ghafar NS

KONGRES KEBANGSAAN KE-17 DAP | Parti Tindakan Demokratik (DAP) terus tonjol sikap progresif dalam Kongres Kebangsaan ke-17 DAP yang akan berlangsung pada 20 Mac 2022 nanti.

Ini berikutan pengumuman yang dibuat Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa 30 peratus kerusi Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) akan disandang oleh pimpinan wanita.

“Buat julung kalinya dalam Perlembagaan parti yang telah dipinda, daripada 30 orang ahli CEC yang dipilih itu, sekurang-kurangnya ada sembilan kerusi untuk wanita.

“Ini kerana, kita telah pun menerima pakai satu pindaan baru dalam Perlembagaan parti di mana kita akan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam pimpinan pusat DAP,” katanya.

Sebelum pindaan Perlembagaan parti dibuat, CEC telah mengadakan konsultasi bersama pelbagai lapisan kepimpinan termasuklah di peringkat negeri, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), wakil-wakil rakyat dan lain-lain.

Akhirnya, pindaan yang dibuat pada 2019 ini disokong sebulat suara oleh semua perwakilan.

Menurut Anthony juga, wanita akan diberikan keutamaan dan satu mekanisme baru akan diguna pakai dalam pemilihan CEC kali ini untuk mencapai sekurang-kurangnya sembilan pemimpin wanita dalam kepimpinan pusat DAP.

“Oleh itu, Jawatankuasa Tertinggi Pusat yang dipilih kali ini akan melambangkan kepimpinan yang lebih inklusif gender,” tambah Anthony lagi.


Antara Jawatankuasa Tertinggi Pusat Wanita DAP kini:

Teresa Kok Suh Sim – Timbalan Setiausaha Agung
Yeo Bee Yin – Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan
Teo Nie Ching – Setiausaha Antarabangsa
Chong Eng – Ahli Jawatankuasa
Jannie Lasimbang – Ahli Jawatankuasa

Perubahan baru yang akan dilaksanakan dalam Kongres Kebangsaan ke-17 DAP pada 20 Mac ini nanti, merupakan usaha progresif parti DAP untuk mengangkat lebih ramai pemimpin wanita di tahap lebih tinggi.

Suara dan aspirasi wanita dalam hal-hal berkait ekonomi, pendidikan, agama dan semua bidang kuasa negara lain dapat diperhebat melalui perlaksanaan pindaan dalam Perlembagaan DAP ini. – Roketkini.com