Kenyataan Akhbar

Laksanakan mekanisme “Undi Awal Jarak Jauh”, bukannya meluaskan Undi Pos 

Kenyataan Penolong Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di Kuala Lumpur pada 17hb Mac 2022:

DAP menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melaksanakan suatu mekanisme pengundian baharu yang dikenali sebagai Remote Early Voting (REV), ataupun Undi Awal Jarak Jauh. Mekanisme ini adalah penting untuk meningkatkan kadar keluar mengundi dalam kalangan para pengundi luar kawasan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Baru-baru ini di parlimen, kerajaan telah meminta pengundi luar kawasan (iaitu pengundi yang menetap, belajar, atau bekerja di negeri yang berlainan daripada di mana mereka sedang didaftarkan sebagai pengundi) untuk memohon dan menukar kawasan pilihan raya mereka berdasarkan alamat baharu.

Namun, cadangan ini adalah kurang munasabah kerana para pengundi luar kawasan masih boleh mempunyai hubungan tempatan dengan kawasan pilihan raya mereka. Sebagai contoh, ramai pelajar daripada Sabah dan Sarawak yang sedang belajar di semenanjung Malaysia tetapi mahu mengundi untuk negeri asal mereka demi perubahan. SPR sepatutnya membantu memudahkan proses sedemikian.

Di bawah sistem REV yang dicadangkan, pengundi luar kawasan boleh mengundi di negeri yang mereka sedang tinggal. Undi mereka masih akan dikira untuk kawasan pilihan raya asal yang mereka didaftarkan. Ini menjimatkan kos dan masa untuk pulang ke kampung halaman untuk mengundi ketika pilihan raya.

Sebagai contoh, Hafiz ialah seorang pengundi yang berdaftar untuk kawasan pilihan raya Sungai Petani di Kedah. Beliau baru sahaja tamat pengaji di universiti dan telah mula bekerja di Kuala Lumpur. Keluarga dan rumah beliau masih berada di Sungai Petani.

Dalam PRU yang akan datang, Hafiz boleh memilih untuk mengundi melalui REV. Beliau boleh mengundi di pusat mengundi REV di Kuala Lumpur tanpa perlu pulang ke Kedah. Hafiz perlu mengundi secara awal, iaitu tiga hari sebelum hari pengundian biasa, bagi memberikan SPR cukup ruang untuk bersedia. Peti undi akan disimpan dengan selamat sehingga akhir hari pengundian biasa. Kertas undi kemudiannya akan dikira di Kuala Lumpur, dan keputusannya akan dihantar ke Sungai Petani untuk dijumlahkan bersama dengan kertas undi yang lain. Proses pengundian dan pengiraan akan dipantau oleh Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (PACA).

Sejak PRU yang lepas, empat Pilihan Raya Negeri (PRN) telah diadakan dan peratusan keluar mengundi adalah amat rendah sekali (Sabah 66.61%; Melaka 65.85%; Sarawak 60.67%; dan Johor 54.92%). Peningkatkan mendadak jumlah pengundi melalui pendaftaran pengundi automatik dan UNDI18 di PRN Johor telah merendahkan lagi kadar keluar mengundi.

Antara sebab utama peratusan keluar mengundi rendah adalah kerana terdapat banyak pengundi luar kawasan tidak mampu membelanjakan wang dan masa untuk balik mengundi semasa pilihan raya.

Contohnya, seorang pengundi di Johor yang sedang bekerja di Kuala Lumpur perlu membelanjakan ratusan ringgit untuk pulang mengundi di PRN Johor yang baru berlangsung minggu lalu. Begitu juga dengan pengundi Sabah dan Sarawak yang sedang menetap di semenanjung Malaysia. Mereka perlu membeli tiket kapal terbang untuk pulang mengundi, dan kos tiket kapal terbang boleh mencecah melebihi RM1000 semasa pilihan raya. Oleh itu, mekanisme pengundi secara REV adalah penting untuk memudahkan pengundi luar kawasan mengundi dalam PRU yang akan datang.

DAP tidak menyokong cadangan untuk meluaskan pengundi secara pos kepada pengundi luar kawasan. Berdasarkan pengalaman lampau di mana terdapat banyak kes-kes penipuan pilihan raya dan kekurangan keyakinan awam terhadap SPR, undi pos tidak akan dapat dilaksanakan secara berkesan di Malaysia, khususnya apabila dilaksanakan secara besar-besaran. Walaupun undi pos adalah kaedah yang dapat memudahkan proses pengundian, proses tersebut kurang telus dan tidak dapat dipantau sepenuhnya. Oleh itu, terdapat risiko bahawa undi pos akan disalahgunakan melalui penipuan dan pembelian undi.

Hak untuk mengundi diperuntukkan di bawah Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Namun, hak untuk mengundi tidak bernilai jika pengundi menghadapi kesukaran untuk mengundi dalam pilihan raya. SPR telah gagal untuk menangani isu peratusan keluar mengundi yang rendah. Dalam ketika dunia sedang berubah dan menyesuaikan diri terhadap Covid-19, SPR kurang proaktif untuk mencari “norma baharu” dalam proses pilihan raya. Dalam PRN Johor baru-baru ini, SPR juga telah menafikan hak sekumpulan pengundi dengan menutup beberapa pusat mengundi lebih awal, iaitu pada jam 2.00 petang, tanpa  justifikasi yang munasabah. 

Kadar keluar mengundi akan terus merosot sekiranya SPR enggan mengambil tanggungjawab dan memudahkan proses pengundian. Reformasi dan penambahbaikan proses pilihan raya mesti dilaksanakan sebelum PRU yang akan datang, khususnya mekanisme REV yang dicadangkan.