Uncategorized

Terima kasih Lim Kit Siang

oleh Ghafar NS

Ucapan terima kasih tidak putus-putus diterima veteran DAP, Lim Kit Siang atas pengorbanan dan sumbangan beliau kepada negara ini secara amnya, dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) khasnya.

Kit Siang, 81, ketika berucap dalam Kongres Kebangsaan Ke-17 DAP, Ahad lalu, telah mengumumkan persaraannya daripada dunia politik tanah air.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan berkata, pengumuman persaraan Kit Siang menandakan berakhirnya satu era, namun beliau yakin Kit Siang tidak akan berehat.

“Kit Siang akan terus menjadi inspirasi kepada generasi baru dan terus bekerja ke arah mencapai Impian Malaysianya,” katanya.

Selain itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang baru dilantik dalam Kongres Kebangsaan Parti DAP ke-17 pada 20 Mac 2022 lalu turut menzahirkan rasa terima kasih kepada Kit Siang atas peluang dan tunjuk ajar dalam 20 tahun beliau berkhidmat untuk parti.

“Semangat Kit Siang dan pengalaman beliau dalam arena politik akan menjadi rujukan buat saya untuk maju ke hadapan,” kata Anthony.

Perjuangan Kit Siang untuk Impian Malaysia dan untuk parti DAP amat besar.

Pengumuman persaraan yang dibuat pada Kongres Kebangsaan DAP lalu membuatkan ramai terkesan dan menganggapnya berani dan kental berbuat demikian setelah 56 tahun berjuang dalam medan demokrasi negara ini.

Ada juga yang mengatakan bahawa Kit Siang telah meninggalkan dunia politik dengan legasinya tersendiri apabila melihat ramai pemimpin-pemimpin muda yang berwibawa dan berkebolehan lahir dari DAP.

Ciapan daripada Bekas Setiausaha Agung DAP yang kini merupakan Pengerusi parti.

Sungguhpun Lim Kit Siang telah bersara dari arena politik Malaysia, semangat dan iltizamnya pasti menjadi pemangkin pada generasi pelapis untuk menjadikan Impian Malaysia satu realiti dan semua masyarakat mendapat manfaat. – Roketkini.com